ADUN cadang beberapa inisiatif kembalikan tarikan Tasik Chini

KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Mohd Sharim Md Zain mencadangkan beberapa inisiatif bagi mengembalikan tarikan Tasik Chini sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi di Pahang.
Beliau berkata, Tasik Chini merupakan khazanah alam semula jadi yang menjadi destinasi pelancongan berasaskan alam, selain merupakan salah satu daripada tiga kawasan Rizab Biosfera UNESCO di Malaysia.
"Melalui usaha Perbadanan Taman Negeri dan Tourism Pahang, kita dapat membantu mengembalikan daya tarikan Tasik Chini kepada pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.
Tambah beliau, antara cadangan yang dikemukakan termasuklah pembinaan menara tinjau, laluan pejalan kaki atau trek untuk aktiviti trekking, galeri warisan Tasik Chini, pusat interpretasi alam serta eko-resort bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Sharim turut menegaskan sokongannya terhadap usaha kerajaan negeri yang sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri memberi perhatian khusus kepada beberapa aspek penting dalam usaha memacu pembangunan komuniti luar bandar.
Jelasnya, aspek pertama ialah peningkatan capaian internet dan liputan telekomunikasi di kawasan kampung tradisi bagi merangsang ekonomi digital luar bandar.
"Kedua, program baik pulih rumah uzur, khususnya untuk warga emas dan ibu tunggal; dan ketiga, geran mikro usahawan desa bagi membantu pengusaha kecil memasarkan produk kampung ke pasaran digital.
"Seterusnya, program digitalisasi usahawan desa, ekonomi digital desa serta platform jualan digital bagi produk kampung ini akan membuka peluang pendapatan baharu kepada penduduk kampung," katanya.
Ringkasan AI
- ADUN Chini mencadangkan inisiatif untuk mengembalikan tarikan Tasik Chini sebagai destinasi pelancongan alam di Pahang
- Tasik Chini adalah khazanah alam dan salah satu daripada tiga kawasan Rizab Biosfera UNESCO di Malaysia
- Cadangan termasuk pembinaan menara tinjau, trek trekking, galeri warisan, pusat interpretasi alam, dan eko-resort bertaraf antarabangsa
- Mohd Sharim menegaskan sokongan terhadap pembangunan luar bandar oleh kerajaan negeri
- Mencadangkan peningkatan capaian internet, baik pulih rumah uzur, geran mikro usahawan, dan digitalisasi ekonomi kampung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

