Pesawat ringan terhempas di Tekah sah berdaftar, juruterbang ikut prosedur - Polis

Noor Hisam semasa sidang akhbar pada Selasa.
Noor Hisam semasa sidang akhbar pada Selasa.
A
A
A

TAPAH - Polis mengesahkan pesawat ringan yang terhempas di Lapangan Terbang Tekah, Taiping, Ahad lalu merupakan pesawat berdaftar di bawah Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF).

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, semasa kejadian berlaku, pesawat berkenaan turut dikendalikan seorang juruterbang dan pelatih yang sah dan berdaftar di bawah persekutuan sama.

Menurutnya, siasatan teknikal insiden itu kini diserahkan sepenuhnya kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memandangkan ia melibatkan aspek penerbangan sukan.

"Laporan awal kejadian ini telahpun dihantar kepada CAAM. Siasatan terperinci berkaitan teknikal, kerosakan enjin atau kemungkinan ralat manusia akan dilakukan oleh CAAM.

"Polis masih menunggu perkembangan siasatan tersebut daripada CAAM," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di Kompleks Perumahan PDRM Tapah di sini pada Selasa.

Dalam majlis itu, Superintenden Abdul Malik Hasim akan menggantikan Johari yang akan bertukar ke IPD Nilai sebagai Ketua Polis Daerah yang baharu.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisam memaklumkan, juruterbang lelaki berusia 46 dan pelatih lelaki berusia 40 tahun yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Taiping dan dilaporkan mengalami patah kaki.

"Saya nasihatkan supaya kita elakkan sebarang spekulasi. Biarlah CAAM menjalankan siasatan penuh sebelum apa-apa kesimpulan dibuat," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, seorang juruterbang dan pelatih cedera selepas sebuah pesawat ringan jenis microlight dinaiki terhempas di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah, Taiping.

Artikel Berkaitan:

Pesawat berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan di bahagian enjin dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang berhampiran lapangan terbang tersebut.

 

Ringkasan AI

  • Pesawat ringan yang terhempas di Lapangan Terbang Tekah adalah berdaftar di bawah Persekutuan Sukan Udara Malaysia
  • Juruterbang dan pelatih yang cedera dalam kejadian tersebut adalah sah dan berdaftar
  • Siasatan teknikal insiden ditangani oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia
  • Juruterbang dan pelatih yang cedera dalam insiden itu sedang menerima rawatan di Hospital Taiping akibat patah kaki
  • Pesawat yang terhempas dilaporkan mengalami kerosakan enjin dan terpaksa melakukan pendaratan cemas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!