Mekanik didakwa samun kedai runcit guna pedang

A
A
A

PASIR MAS – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tuduhan melakukan samun menggunakan pedang di sebuah kedai runcit, tiga bulan lalu.

Tertuduh, Muhamad Azmie Akid Azaha, didakwa di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Azmie Akid didakwa melakukan samun terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah kedai runcit di Kampung Berangan, Wakaf King, Tumpat, pada jam 10.55 malam, 2 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 392, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan. Sementara itu, Seksyen 397 memperuntukkan hukuman sebatan mandatori kerana melibatkan penggunaan senjata tajam ketika melakukan samun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan membahayakan keselamatan awam.

“Jika mahkamah membenarkan jaminan, saya mohon jumlah RM20,000,” katanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana hanya berpendapatan RM50 sehari.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan syarat perlu melapor diri di balai polis terdekat pada setiap 1 haribulan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Januari tahun hadapan.

Sebelum ini, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu yang tular di Facebook, memaparkan seorang lelaki bertopi keledar mengacukan parang ke arah mangsa yang berada di kaunter sebelum melarikan sejumlah wang tunai dan rokok.

Ringkasan AI

  • Seorang mekanik mengaku tidak bersalah melakukan samun menggunakan pedang di sebuah kedai runcit
  • Muhamad Azmie Akid didakwa samun remaja perempuan 15 tahun di Kampung Berangan, Wakaf King, Tumpat
  • Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan, mengancam hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebatan
  • Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan, mahkamah setuju jamin RM20,000 dengan syarat tertentu
  • Kes akan sebut semula pada 11 Januari tahun hadapan, insiden samun terekam CCTV dan tular di Facebook

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!