Kerajaan kekalkan struktur SST, tambah baik sistem percukaian - Hui Ying

KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada, sambil melaksanakan penambahbaikan bagi memastikan sistem percukaian yang lebih cekap dan berkesan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Beliau berkata, langkah ini merupakan pendekatan kerajaan bagi mengekalkan cukai penggunaan secara bersasar, dengan barang dan perkhidmatan asas yang lazimnya digunakan oleh rakyat secara amnya tidak dikenakan cukai.
"SST merupakan sistem percukaian yang lebih bersasar dan telah digunakan di Malaysia lebih 40 tahun yang lepas, serta merupakan satu sistem yang telah difahami oleh industri, peniaga dan rakyat.
"Pelaksanaan SST juga dapat memberikan impak fiskal yang lebih pantas kepada kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk C Sivaraj berkenaan pendekatan kerajaan dalam mempertimbangkan pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau penampakbaikan terhadap sistem SST yang lebih sesuai bagi memastikan sistem percukaian negara kekal berdaya tahan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan GST kerana pendapatan rakyat secara amnya masih rendah untuk menerima impak cukai GST yang bersifat lebih meluas kepada majoriti rakyat.
"Kerajaan mengambil maklum berkenaan kebaikan sistem GST, namun seperti mana yang telah dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan GST.
"Langkah memperkenalkan semula GST memerlukan tempoh masa persediaan yang lebih panjang, iaitu mungkin sehingga dua tahun bagi memberi ruang kepada syarikat untuk mengemaskini sistem sebelum GST dilaksanakan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Hui Ying berkata, kerajaan mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum memutuskan kaedah percukaian yang paling sesuai untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara pada masa ini.
"Kerajaan mempertimbangkan aspek struktur keseluruhan sistem percukaian negara sedia ada, ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan, kedudukan ekonomi semasa, keperluan hasil kerajaan serta taraf hidup rakyat secara keseluruhan,” kata Hui Ying.- Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan mengekalkan struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan sedia ada dengan penambahbaikan
- SST digunakan di Malaysia lebih 40 tahun dan difahami oleh industri dan rakyat
- Pelaksanaan SST memberikan impak fiskal yang lebih pantas kepada kerajaan
- Kerajaan belum berhasrat melaksanakan GST kerana pendapatan rakyat masih rendah
- Kerajaan mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum memutuskan kaedah percukaian yang sesuai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
