Lebih 1,300 sertai Offline 16 anjuran VitaHealth, Tropicana

SHAH ALAM - Penganjuran ESG Offline 16 2025 oleh VitaHealth Malaysia (VitaHealth) dan Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) semakin mendapat sambutan apabila mencatatkan penyertaan seramai 1,320 orang.
Dengan permainan utama cabaran 'pickleball', acara itu diadakan bagi memberi penghormatan kepada Hari Kesihatan Mental Sedunia anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selari dengan matlamat mempromosikan minda sihat untuk kehidupan yang sejahtera.
Ketua Pegawai Eksekutif VitaHealth (Malaysia dan Singapura) merangkap pengasas Offline 16, Dr KS Beh berkata, pihaknya konsisten dengan slogan ‘Healthy Life, Happy Vibes’ di samping menyediakan suplemen serta solusi kesihatan bagi membantu orang ramai menjalani gaya hidup sihat dan gembira selama lebih 78 tahun.

“Offline 16 sebahagian daripada komitmen ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) kami untuk mempromosikan kesejahteraan mental serta memupuk komuniti yang lebih kukuh. Sehingga kini, kami telah merekodkan 41 jam 'offline' merangkumi tujuh acara dengan penglibatan 1,320 peserta.
“Ini bukan sekadar detoks digital, tetapi peluang untuk mengembalikan keceriaan kerana detik terindah tidak tercipta di skrin, sebaliknya kita hadir sepenuhnya pada saat itu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi iaitu Tropicana dan Kumpulan BIG CARiNG serta pasukan berdedikasi kami yang menjayakan acara ini dengan cemerlang,“ katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Acara utama terbaharu yang berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort (TGCR) mencatatkan kejayaan besar dengan penyertaan 310 peserta bermain 'pickleball' bersama jaguh badminton Olimpik merangkap Duta VitaHealth, Pearly Tan serta juara 'pickleball', Colin Wong.
Program yang berlangsung dari jam 11 pagi hingga 8 malam itu menggalakkan peserta untuk berehat seketika daripada penggunaan peranti digital bagi melakukan aktiviti fizikal.
Antara aktiviti menarik lain termasuk yoga, 'piloxing', 'body combat', persembahan muzik jazz secara langsung, bengkel kitar semula, pemeriksaan kesihatan, seni dan kraf DIY, permainan kesejahteraan mental serta zon relaksasi lengkap dengan sudut bacaan dan kerusi urut.

Peserta turut menerima barangan eksklusif bernilai lebih RM300, manakala pemenang cabutan bertuah membawa pulang hadiah berjumlah RM25,000.
Sementara itu, Pengarah Urusan Jualan, Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berpandangan ESG bukan sekadar mengenai alam sekitar dan tadbir urus semata-mata, sebaliknya ia juga berteraskan penglibatan manusia.
“Di Tropicana, misi kami adalah membangunkan bandar lestari boleh didiami yang benar-benar menyokong komuniti. Offline 16 memberi peluang kepada peserta untuk berehat daripada dunia digital dan berhubung semula menerusi aktiviti sebegini.
“Kami berbangga menjadi peneraju program kesejahteraan dan ESG ini bersama VitaHealth dengan sokongan Yayasan Tropicana serta penaja acara, TGCR,“ ujar beliau.

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan BIG CARiNG, Wong Siew Lai pula berkata, penjagaan kesihatan amat penting dan pihaknya percaya bahawa kesejahteraan sebenar bukan hanya dari aspek fizikal, malah mental juga.
“Offline 16 sejajar dengan nilai kami iaitu menggalakkan orang ramai berehat daripada dunia digital, berhubung secara bersemuka dan mengamalkan gaya hidup aktif.
“Acara sulung seumpamanya ini merupakan langkah berkesan ke arah membina komuniti yang lebih peka dan seimbang. Kami berbangga dapat berdiri bersama rakan kerjasama dalam merealisasikan visi bermakna ini,“ katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


