Pam air sedut banjir 'termenung'

IPOH - Penggunaan pam air oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) antara usaha dilakukan bagi mengatasi banjir genang di beberapa daerah di Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha itu dilihat berkesan untuk mengeluarkan air di kawasan yang masih dinaiki air.
Menurutnya, bagaimanapun ia bergantung paras air sungai yang digunakan untuk mengeluarkan air banjir.
"Semalam saya tengok ADUN Pengkalan Baharu, Azman Noh tunjuk bagaimana JPS menyedut air kawasan banjir itu. Keberkesanan bergantung kepada sungai, kalau air sungai itu tinggi, tak ada maknalah.
"Cuma sekarang nampak usaha itu efektif apabila pam itu sedut air daripada kawasan banjir keluar ke sungai dan terus bawa ke laut," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri 8/2025 di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.

Sementara itu, Saarani memaklum, kerajaan negeri sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi gelombang kedua banjir.
Katanya, ketika ini situasi banjir di Perak kian pulih dengan penutupan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurutnya, menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (SDCC), pemantauan dan persediaan banjir dapat dilakukan segera secara masa nyata.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, melalui SDCC pengagihan bantuan serta operasi menyelamat mangsa berjaya dikoordinasikan.
"Setakat ini, kita berjaya mengumpulkan 5,676 anggota yang bersiap siaga. Kenderaan pacuan roda kita ada 384 buah, 97 ambulans dan paling penting, 251 bot beserta 1,500 jaket keselamatan.
"Jadi, pengalaman gelombang pertama, kita berjaya menggunakan SDCC ini untuk menggerakkan aset paling penting bagi menghadapi bencana sebab kita tidak boleh halang bencana yang datang tapi cara terbaik untuk kita bersedia menghadapinya," katanya.
Ringkasan AI
- Penggunaan pam air oleh JPS di Perak untuk mengatasi banjir genang
- Pam air efektif apabila keadaan sungai surut membolehkan pengeluaran air banjir
- Kerajaan negeri bersiap siaga menghadapi gelombang kedua banjir
- Situasi banjir di Perak kian pulih dengan penutupan beberapa PPS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

