X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki rempuh sekatan jalan raya dipenjara, didenda

Mahkamah. -Foto Sumber Internet
A
A

SANDAKAN - Tindakan seorang lelaki merempuh sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengundang padah apabila dia dihukum penjara sehari dan didenda sebanyak RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Suhaila Selag turut memerintahkan Mohd Salleh Majid, 39, yang mengaku bersalah dipenjara sehari dan tambahan selama 10 bulan jika gagal membayar denda.

Menurut fakta kes, tertuduh memandu kereta Proton Exora yang turut dinaiki isteri dan tiga anaknya ketika kejadian berlaku di Kilometer 131 Jalan Sandakan-Lahad Datu pada 24 Mac lepas kira-kira 9.45 pagi.

Mohd Salleh memaklumkan kepada anggota yang bertugas bahawa dia sekeluarga ingin pulang ke Semporna selepas melawat saudara mara di Sandakan sejak 17 Mac lepas, tetapi polis mengarahkannya berpatah balik ke Sandakan.

Bagaimanapun, lebih kurang 30 meter perjalanan selepas berpatah balik ke laluan menuju Sandakan, kereta yang dipandu tertuduh telah membuat pusingan U untuk meneruskan perjalanan ke Lahad Datu sekali gus melanggar sekatan jalan raya dengan memandu laju.

Susulan insiden itu, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan telah menghubungi Pusat Kawalan IPD Lahad Datu untuk menahan kenderaan tersebut kerana ingkar arahan pegawai polis yang bertugas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam iaitu polis menjalankan tugas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Sze Chuen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintenden Dzulbaharin Ismail ketika dihubungi berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang ingkar sepanjang pelaksanaan PKP bertujuan mengelak penularan wabak Covid-19 dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus