'Semua manifesto PRN Sabah mula dilaksana bulan ini, tidak mungkir janji' - PM

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan semua janji dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 terutama naik taraf infrastruktur akan dilaksanakan bermula bulan ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, mesyuarat penyelarasan untuk memantau pelaksanaan projek utama akan diadakan setiap bulan bermula Disember ini.
“Kita tetapkan supaya Disember ini juga ada mesyuarat penyelarasan memantau pelaksana. Kalau ada 250 projek utama, maka mesti dipantau setiap projek itu. Mesyuarat setiap bulan di peringkat Persekutuan dan negeri. Langkah ini menjadi contoh terbaik yang boleh kita lakukan untuk melaksanakan kata-kata kita.
“Ini berbeza... orang politik dan pimpinan berjanji sebelum ini... sebelum pilihan raya... dan meninggalkan janji itu. Kita janji dalam tempoh seminggu kita turun, menetapkan kaedah pelaksanaan, kerana di sana masih terbelenggu masalah api, air dan jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di sini pada Ahad.
Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang mencecah belasan bilion ringgit antara Sabah dan Sarawak akan diteruskan dengan teratur dan mengikut jadual.
“Pan Borneo di mana RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak itu akan diteruskan dengan lebih teratur dan berkesan.
“Tahniah... sudah beres dengan jayanya di Sarawak dan kita setuju untuk berikan laluan red line tambahan ke Sarawak dan ke Sabah.
“Nampak pertama kali sejak projek itu diluluskan 10 tahun lalu, ini kali pertama perjalanan pelaksanaannya jauh lebih teratur dan berkesan dan Insya-ALLAH mengikut jadual,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan memuji rakyat dan pengundi Sabah yang berjaya memilih wakil rakyat mereka secara aman dan damai pada 29 November lalu.
“Bayangkan Sabah dengan suku kaum berbeza, fahaman agama berbeza, berentap dalam pemilihan tegang, tetapi menjadi contoh kepada negara kita.
“Kita saksikan bagaimana segala perbezaan itu dapat dilerai dan ditenangkan dalam masa singkat selepas selesai PRN Sabah baru-baru ini,” ujarnya. - Awani
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan janji PRN Sabah akan dilaksanakan termasuk naik taraf infrastruktur
- Mesyuarat penyelarasan projek utama akan diadakan setiap bulan bermula Disember
- Projek Lebuhraya Pan Borneo antara Sabah dan Sarawak akan diteruskan mengikut jadual
- Anwar memuji rakyat Sabah memilih wakil rakyat secara aman dan damai
- Pelaksanaan janji-janji PRN Sabah menjadi contoh tindakan berbeza dari janji politik sebelum pilihan raya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

