Minta sunting gambar bersama arwah anak, permintaan bapa Nurin Jazlin undang perhatian

SHAH ALAM – Hampir dua dekad berlalu, namun kisah tragis kehilangan dan kematian Nurin Jazlin tetap segar dalam ingatan rakyat Malaysia.
Perkara itu kembali menjadi tumpuan apabila bapanya, Jazimin Abdul Jalil, baru-baru ini memuat naik permintaan menyentuh hati dalam Facebook 'Edit Apa Hari Ini'.
Jazimin meminta ahli kumpulan menggabungkan gambarnya dengan foto arwah Nurin Jazlin serta menyuntingnya dalam saiz besar untuk dibingkaikan.
Permintaan tersebut mendapat perhatian warga maya apabila meraih hampir 15,000 tanda suka dan lebih 2,000 komen, menjadikannya antara hantaran paling tular dalam media sosial berkenaan.
Ramai ahli turut berkongsi hasil suntingan masing-masing sebagai tanda solidariti dan sokongan moral kepada keluarga kanak-kanak itu.

Nurin Jazlin dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007, dipercayai diculik ketika berjalan menuju pasar malam di Wangsa Maju.
Usaha mengesan bagaimanapun tidak berjaya dan akhirnya jenazah kanak-kanak itu ditemukan dalam sebuah beg yang ditinggalkan sekitar Petaling Jaya, Selangor kira-kira sebulan selepas diculik.
Hasil bedah siasat mendapati Nurin menjadi mangsa dera apabila tidak diberi makan dan minum selain timun serta terung ditemukan dalam kemaluannya.
Sehingga kini, identiti pelaku masih belum dikenal pasti dan kes berprofil tinggi itu kekal tidak terungkai, sekali gus terus menjadi tanda tanya serta meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.
Ringkasan AI
- Kisah tragis kehilangan dan kematian Nurin Jazlin tetap segar dalam ingatan rakyat Malaysia
- Bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil, meminta ahli kumpulan Facebook menyunting dan menggabungkan foto mereka untuk kenang-kenangan
- Permintaan tersebut mendapat hampir 15,000 tanda suka dan lebih 2,000 komen di media sosial
- Nurin Jazlin dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 dan jenazahnya ditemukan dalam sebuah beg kira-kira sebulan selepas diculik
- Identiti pelaku kejam masih belum dikenal pasti dan kes itu kekal tidak terungkai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

