Syarikat kecil tidak perlu e-invois bermula Januari

KOTA KINABALU - Syarikat kecil tidak lagi akan dipaksa melaksanakan e-invois bermula Januari depan, selepas kerajaan bersetuju menaikkan had 'threshold' daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan menerima banyak rungutan, khususnya daripada peniaga kecil termasuk komuniti Cina yang menganggap pelaksanaan e-invois membebankan.
"Ada juga lain-lain masalah dibangkitkan terutama dari peniaga kecil termasuk peniaga Cina di bandar tentang e-invoicing, terutama yang melibatkan syarikat-syarikat kecil. Syarikat besar ini, tahun 2025 takkanlah syarikat besar nak komplen, nak bantah lagi soal e-invoicing, mereka ada keupayaan mencatat keuntungan yang lebih baik, invois lah profesional.
“Tapi syarikat-syarikat kecil dan sederhana ini rasa itu menambah beban dan kos. Saya dengar....Sebab itu saya tak boleh umum masa kempen kerana itu bertentangan dengan peraturan. Saya hanya boleh menyebut kita telah mengarahkan supaya Kementerian Kewangan mengkaji semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, kajian semula tersebut dilakukan dalam masa singkat sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri yang kemudian memutuskan untuk menaikkan 'threshold' kepada RM1 juta.
"Semalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri sudah putuskan peringkat awal iaitu threshold syarikat jumlah RM500,000 itu dibatalkan dan dinaikkan RM1,000,000 minima.
"Jadi maknanya syarikat-syarikat kecil betul tidak perlu lagi dipaksa e-invoicing untuk sekarang ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa pelaksanaan e-invoise selepas paras RM1 juta akan dikaji dengan lebih mendalam, termasuk implikasi kos terhadap peniaga.
"Bagaimana keadaannya lepas RM1 juta itu baru dikaji lebih mendalam apa implikasi kosnya.
"Jadi sekurang-kurangnya kita dengar, kita laksanakan segera yang boleh disegerakan ialah naik daripada had RM500,000 kepada RM1 juta,” katanya.
Anwar turut menasihatkan agar masyarakat tidak panik atau membuat reaksi berlebihan, sambil menekankan bahawa keputusan kerajaan perlu mengambil kira pandangan semua pihak dalam kerangka Kerajaan Perpaduan Madani.
Ringkasan AI
- Kota Kinabalu - Syarikat kecil tidak lagi dipaksa melaksanakan e-invois bermula Januari depan selepas kerajaan menaikkan had threshold daripada RM500,000 kepada RM1 juta
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan menerima banyak rungutan
- Kajian semula dilakukan sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri yang kemudian memutuskan untuk menaikkan threshold kepada RM1 juta
- Pelaksanaan e-invois selepas paras RM1 juta akan dikaji lebih mendalam termasuk implikasi kos terhadap peniaga
- Anwar menasihatkan masyarakat agar tidak panik atau membuat reaksi berlebihan dan menekankan bahawa keputusan kerajaan mengambil kira pandangan semua pihak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
