Umat Islam wajib fahami konsep riba

KUALA LUMPUR – Umat Islam wajib memahami konsep riba dan berusaha untuk menjauhinya kerana perbuatan itu dimurkai ALLAH SWT.
Penasihat Kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abdul Rahman menegaskan, kedudukan riba dalam Islam amat berat sehingga Nabi Muhammad SAW dalam hadis menyamakan dosanya seperti melakukan zina sebanyak 36 kali.
"Maka sebab itu menjadi kewajipan kepada semua orang Islam untuk faham apa itu riba dan bagaimana nak menjauhinya.
"Jika kita tak belajar, kita boleh terjatuh dalam riba tanpa sedar dan dosanya sangat berat,” katanya ketika sesi Quranic Cure For Modern Financial Chaos sempena World #QuranConvention 2025 di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, Malaysia bertuah kerana mempunyai rangka perundangan seperti Akta Perkhidmatan Kewangan Islam, Akta Perbankan dan Pengawasan Bank Negara yang menjadi asas kepada kewujudan institusi perbankan Islam patuh syariah.
"Bagi mereka yang menggunakan produk perbankan, tak perlu risau tentang status halal kerana ia telah disemak oleh penasihat syariah di beberapa peringkat.
"Tetapi bagi transaksi di luar sektor perbankan, kita sendiri wajib belajar untuk elakkan riba," ujarnya.
Sementara itu mengulas mengenai urus niaga emas, Zaharuddin menjelaskan, emas mempunyai nilai intrinsik dan sering dikaitkan dengan ekonomi Islam, namun transaksi tidak bergantung pada objeknya.
Beliau menegaskan, 'keislaman' urus niaga bukan pada emas, duit atau dinar tetapi tatacara transaksi dilaksanakan.
"Pada zaman nabi pun berlaku riba dalam jual beli emas dan baginda membetulkannya.
"Riba bukan pada benda tetapi tata cara transaksi. Sebab itulah kalau beli emas, dalam hadis nabi suruh bayar tunai. Itu adalah antara cara mengelakkan daripada riba," jelasnya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati memilih akaun simpanan emas berikutan wujud syarikat yang menjual emas tidak wujud atau tidak dimiliki.
Menegaskan perkara itu, beliau berkata, simpanan emas yang halal mesti disandarkan kepada emas fizikal sebenar.
"Akaun emas patuh syariah ialah yang benar-benar wujud emas (fizikal). Kalau emas itu tak wujud, urus niaga tersebut tidak betul dan boleh membawa kepada riba.
“Ada syarikat hanya ada dua kilogram (kg) emas tetapi jual dan menyimpan kononnya sehingga 20 kilogram bagi pihak pelanggan. Hakikatnya 18 kg itu tak wujud. Kalau semua penyimpan minta keluarkan serentak, syarikat tak mampu serahkan apa-apa. Ini tidak patuh syariah,” katanya.
Ringkasan AI
- Umat Islam wajib memahami konsep riba dan menjauhinya kerana dimurkai ALLAH SWT
- Riba dalam Islam sangat berat dosanya, disamakan dengan melakukan zina sebanyak 36 kali oleh Nabi Muhammad SAW
- Malaysia mempunyai rangka perundangan yang menyokong kewujudan institusi perbankan Islam patuh syariah
- Transaksi emas dalam ekonomi Islam bergantung pada tata cara transaksi, bukan objeknya
- Simpanan emas halal harus disandarkan kepada emas fizikal sebenar untuk elak daripada riba
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

