Penduduk terjejas banjir di Sumatera Utara rayu sokongan

Perabot milik penduduk di desa Aek Ngado, Tanapuli Selatan di wilayah Sumatera Utara diselaputi lumpur tebal yang dibawa arus banjir. - Foto AFP
Perabot milik penduduk di desa Aek Ngado, Tanapuli Selatan di wilayah Sumatera Utara diselaputi lumpur tebal yang dibawa arus banjir. - Foto AFP
A
A
A

PANDAN - "Kami merayu sokongan dan doa anda. Lihatlah keadaan kampung kami yang binasa akibat dilanda banjir."

Rayuan itu dibuat pekerja binaan, Bertoni Siregar setelah longgokan kayu dan sisa sampah dibawa arus banjir ke kawasan penempatan penduduk di Tanapuli Tengah, Sumatera Utara di Indonesia.

Kebanyakan jalan utama tenggelam dan orang ramai terpaksa meredah banjir lumpur untuk memulakan usaha pembersihan berskala besar.

Tetapi, usaha itu mungkin berdepan kesukaran berikutan gelombang hujan lebat baharu mengancam Pulau Sumatera yang sudah pun ditenggelami banjir dahsyat sejak beberapa minggu lalu dan meragut 883 nyawa.

Agensi Meteorologi Indonesia memberi amaran cuaca buruk diramalkan kembali melanda wilayah Aceh dan Sumatera Utara pada Sabtu yang kini terjejas teruk.

Gabenor Aceh, Muzakir Manaf berkata, krisis kelaparan merupakan ancaman paling serius terutamanya di lokasi terpencil dan tidak dapat diakses kerana terputus hubungan akibat jalan utama musnah.

"Ramai penduduk memerlukan bantuan asas, namun bekalan gagal tiba kepada mereka. Mereka berisiko mati kerana kebuluran dan bukannya disebabkan banjir," ujarnya.

Menurutnya lagi, salah sebuah kawasan paling teruk adalah perkampungan di Aceh Tamiang.

"Ia binasa sepenuhnya. Banyak desa dan daerah kecil lenyap 'ditelan' banjir," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penduduk dikenali sebagai Munawar Liza Zainal meluahkan rasa kecewa terhadap pemerintah.

"Ia jelas satu bencana luar biasa, namun pemerintah masih enggan mengisytiharkan bencana kebangsaan untuk menggerakkan tindak balas lebih bersepadu," katanya.

Penganalisis percaya pemerintah mungkin keberatan untuk membuat keputusan itu dan mendapatkan bantuan asing tambahan kerana enggan pihak luar meragui kemampuannya. - AFP

 

Ringkasan AI

  • Kampung di Tanapuli Tengah, Sumatera Utara dilanda banjir besar
  • Jalan utama tenggelam dan penduduk terpaksa meredah banjir lumpur untuk pembersihan
  • Gelombang hujan lebat baru mengancam Sumatera yang telah mengalami banjir dahsyat
  • Agensi Meteorologi Indonesia memberi amaran cuaca buruk dan krisis kelaparan di Aceh dan Sumatera Utara
  • Kritik terhadap pemerintah yang enggan mengisytiharkan bencana kebangsaan untuk tindakan lebih bersepadu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!