Wang pelaburan lebih RM900,000 lesap

KULAI – Gara-gara mahu bergelar jutawan dalam sekelip mata, seorang akauntan kini tidak lena tidur apabila wang pelaburannya berjumlah RM916,700 lesap akibat terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, wanita warga tempatan berusia 55 tahun itu berminat untuk membuat pelaburan yang menjanjikan keuntungan sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus hanya dalam tempoh 24 jam.
Malah wanita itu mendakwa, wang keuntungan hasil pelaburan berkenaan akan dimasukkan ke akaun aplikasi bank milik mangsa.

“Tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa kemudiannya telah melakukan sebanyak 35 kali transaksi pembayaran berjumlah RM916,700 kepada empat akaun bank tempatan mulai 2 Oktober hingga 11 November lalu.
“Mangsa juga telah membuat semakan pada akaun aplikasi miliknya dan mendapati keuntungan yang diperolehi adalah sebanyak RM5,435,748.
“Bagaimanapun, apabila mangsa cuba membuat pengeluaran tersebut, didapati akaun miliknya telah disekat. Mangsa yang mengesyaki dirinya ditipu kemudiannya membuat laporan polis,” katanya.
Tambah Seng Lee, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pelaburan tidak wujud.
Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebatan selain boleh juga dikenakan denda.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menggunkan khidmat atas talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti National Scam Response Cente (NSRC), CCID Infoline, Semak Mule dan juga boleh mendapatkan info terkini berkaitan modus operandi jenayah komersil melalui laman rasmi facebook PDRM (Polis DiRaja Malaysia),” katanya.
Ringkasan AI
- Akauntan hilang RM916,700 terpedaya pelaburan saham tidak wujud
- Wanita berusia 55 tahun itu dijanjikan keuntungan 30 hingga 40 peratus dalam tempoh 24 jam
- Mangsa melakukan 35 transaksi ke empat akaun bank dari 2 Oktober hingga 11 November lalu
- Mangsa dapati keuntungan RM5,435,748 dalam aplikasi tapi tidak dapat dikeluarkan
- Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
