CiJA pemangkin ketepatan pelaporan kes jenayah rasuah - SPRM

KUALA LUMPUR - Penubuhan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) mampu membuka ruang kerjasama lebih tersusun bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaporkan berita berkaitan jenayah rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penubuhan CiJA amat dialu-alukan dan ahlinya digalakkan untuk meneroka bidang kewartawanan penyiasatan.
Menurutnya, SPRM bersedia menyediakan latihan mengenai prosedur siasatan, teknik asas penyiasatan jenayah, undang-undang jenayah asas serta teknik temu bual sebagai pendedahan kepada wartawan yang ingin menceburi laporan penyiasatan.
"Pemahaman yang lebih baik dalam bidang-bidang ini akan meningkatkan keupayaan mereka untuk membongkar isu jenayah.
"Ini sekali gus memberikan maklumat tepat kepada orang awam serta manfaat kepada masyarakat melalui laporan yang lebih dipercayai dan bertanggungjawab," katanya bagi mengulas kejayaan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama CiJA di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, pihaknya melihat CiJA sebagai pemangkin meningkatkan ketepatan pelaporan dan memastikan sensitiviti operasi terpelihara.
Jelasnya, ini kerana wartawan meja jenayah merupakan golongan yang paling banyak melaporkan berita berkaitan pencegahan rasuah.
"Melalui kerjasama di platform ini, penyampaian maklumat anti rasuah dapat dilakukan dengan lebih tepat, pantas dan profesional," ujarnya.
Hisyam berkata, pihaknya juga terbuka untuk memberikan latihan kepada wartawan merangkumi etika, undang-undang dan pemahaman Akta SPRM 2009 bagi membantu memperkukuh profesionalisme wartawan meja jenayah.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baharu CiJA.
Menerusi AGM itu, Safeek Affendy Razali (Berita Harian) dilantik sebagai Presiden, manakala Hafidzul Hilmi (Harian Metro) dan Maszureen Hadzman (Utusan Malaysia) dilantik sebagai Timbalan Presiden 1 dan 2.
Jawatan Bendahari pula diisi Farik Zolkepli (The Star) dan Nuraina Hanis Abdul Halim dilantik sebagai Setiausaha.
Ringkasan AI
- Penubuhan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) dapat mempererat kerjasama dengan SPRM dalam melapor jenayah rasuah
- Tan Sri Azam Baki menggalakkan ahli CiJA meneroka kewartawanan penyiasatan
- SPRM sedia menyediakan latihan penyiasatan dan undang-undang jenayah kepada wartawan
- Pemahaman yang lebih baik dalam bidang penyiasatan akan meningkatkan keupayaan wartawan membongkar isu jenayah
- Kerjasama CiJA dengan SPRM meningkatkan ketepatan dan profesionalisme dalam penyampaian maklumat anti rasuah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
