Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini awal pagi pada Jumaat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas jam 2.25 petang.
Hujan gerimis sejurus selesai pengebumian tokoh politik yang banyak berjasa kepada rakyat Sabah itu.
Terdahulu, van membawa jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan itu pada 1.45 tengah hari, disambut orang ramai daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama dalam suasana hiba, menggambarkan kasih sayang tidak berbelah bahagi rakyat kepada beliau.
Mereka yang hadir kemudian berpusu-pusu membantu urusan pengebumian termasuk mengangkat jenazah, menyediakan tapak perkuburan dan melakukan kerja-kerja tanah.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar, sanak saudara dan rakan seperjuangan Allahyarham.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi pada Jumaat dan pemergian itu disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan Moktar.
Bung Moktar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 November lalu. - Bernama
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas
- Hujan gerimis turun sejurus selesai pengebumian beliau
- Jenazah Bung Moktar tiba di tanah perkuburan disambut oleh orang ramai dari pelbagai latar belakang
- Pelbagai lapisan masyarakat turut membantu dalam proses pengebumian
- Bung Moktar meninggal pada umur 66 tahun dan mempertahankan kerusi DUN Lamag pada pilihan raya negeri terakhir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
