HTAA tambah kerusi selepas aduan tular

KUANTAN – Aduan mengenai kesesakan dan kekurangan kerusi di ruang menunggu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang tular di media sosial pada Khamis telah menerima tindakan segera daripada Kerajaan Negeri Pahang.
Gambar yang tular di laman sosial memaparkan pesakit dan pelawat terpaksa duduk di lantai akibat ketiadaan kerusi, turut menarik perhatian Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir Razali Kassim.
Razali berkata, tindakan segera telah diambil sebaik sahaja aduan diterima bagi menilai keperluan semasa fasiliti berkenaan.
“Hasil lawatan, saya lihat memang berlaku kekurangan dan ada banyak kerusi yang rosak.
“Buat sementara ini, pihak HTAA dengan bantuan ReadyCare akan membaiki kerusi-kerusi tersebut, dan ketika ini juga kita lihat sudah ada kerusi tambahan yang telah disediakan,” katanya, memetik laporan Pahang Media di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, penyediaan kerusi tambahan merupakan langkah segera bagi memastikan pesakit dan pengunjung mempunyai ruang menunggu yang lebih selesa.
Razali menambah, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan keselesaan pengunjung hospital dan berharap pihak pengurusan hospital dapat memaklumkan segera sekiranya berlaku isu berkaitan fasiliti.
“Saya sudah maklumkan kepada pihak pengurusan hospital untuk sentiasa mengemas kini perkara seperti ini bagi memudahkan bantuan sementara diberikan.
“Saya faham kadang-kadang peruntukan kementerian mengambil masa, sebab itu kerajaan negeri tampil membantu.
“Insya-ALLAH, saya akan bawa perkara ini kepada YAB Menteri Besar untuk tindakan lanjut sementara menunggu peruntukan daripada kementerian,” jelas beliau.
Ringkasan AI
- Aduan kesesakan dan kekurangan kerusi di ruang menunggu HTAA telah menerima tindakan segera dari Kerajaan Negeri Pahang
- Gambar yang tular di media sosial menunjukkan pesakit dan pelawat terpaksa duduk di lantai
- Tindakan segera termasuk penilaian keperluan fasiliti dan pembaikan kerusi yang rosak
- Kerusi tambahan telah disediakan sebagai langkah segera untuk keselesaan pesakit dan pengunjung
- Kerajaan negeri Pahang mengutamakan keselesaan pengunjung hospital dan mengharapkan pengurusan hospital mengemas kini isu fasiliti secara berkala
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

