Isu lalu lintas belum selesai, nyawa pelajar masih dalam bahaya

SHAH ALAM - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setia Alam mendesak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu keselamatan di hadapan sekolah itu yang didakwa berlanjutan sejak lebih dua tahun lalu.
Yang Dipertua PIBG, Yuza Azriel Md Yusoff berkata, ibu bapa kerap meluahkan kebimbangan mengenai risiko kemalangan di laluan Persiaran Setia Prima di hadapan sekolah berkenaan.
Menurutnya, beberapa langkah menangani perkara itu telah diajukan kepada MBSA antaranya penambahan tiga bonggol keselamatan iaitu di lintasan pejalan kaki, laluan bertentangan serta sebelum perhentian bas.
“Langkah ini dicadangkan kerana hanya terdapat satu bonggol sahaja yang terletak kira-kira 20 meter dari pintu sekolah dan tidak mencukupi, menyebabkan kenderaan memecut laju sekali gus mengundang risiko kemalangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Selain itu, Yuza Azriel berkata, terdapat sesetengah pengguna kenderaan yang mengambil kesempatan menggunakan laluan lencongan masuk di hadapan pintu utama sekolah untuk memotong kenderaan lain.
Beliau memberitahu, seramai 1,700 pelajar sekolah itu termasuk 294 calon yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini berisiko setiap hari terutama pada waktu puncak.
“Keadaan aliran trafik tinggi pada waktu puncak antaranya seawal jam 6.30 hingga 7.20 pagi, 12 tengah hari hingga 1.30 petang, dan 6 petang hingga 7 malam,” tambahnya.
Menurut beliau, beberapa ibu bapa juga pernah memaklumkan insiden anak hampir dilanggar ketika melintas di lintasan pejalan kaki.
“Saya sudah membuat laporan menerusi SISPAA (Sistem Pengurusan Aduan Awam) kepada MBSA pada Februari lalu untuk memohon bonggol tambahan atau menaik taraf lintasan pejalan kaki, namun jawapan diterima menyatakan ia tidak dapat dilaksanakan kerana tiada persetujuan penduduk.
“MBSA memaklumkan mereka akan memasang lampu isyarat, tetapi lampu isyarat sedia ada pun berfungsi tidak menentu,” tambah beliau.
Yuza Azriel mendedahkan, kejadian terbaharu berlaku hanya beberapa hari sebelum peperiksaan SPM apabila seorang pelajar lelaki dilanggar penunggang motosikal ketika melintas jalan.
“Pelajar terbabit cedera ringan, tetapi syukur dapat hadir menduduki peperiksaan lisan SPM pada keesokan harinya dan kejadian seperti ini menguatkan lagi kebimbangan kami,” katanya.
Menurutnya, cadangan supaya sekolah menyediakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) seperti Sekolah Kebangsaan (SK) berhampiran tidak dapat dilaksanakan kerana kos tinggi iaitu kira-kira RM20,000 setahun, selain dana PIBG lebih wajar digunakan untuk pembangunan dan kemenjadian murid.
“Pelajar sekolah menengah sudah boleh berfikir lokasi sesuai untuk melintas, namun masalahnya pemandu tidak memberi kerjasama dengan memandu laju dan berbahaya.
“Walaupun mereka sudah berdiri di lintasan, banyak kenderaan enggan berhenti dan terus memecut.
“Tambahan pula kawasan ini laluan lori dari kawasan perindustrian Bukit Raja yang keluar masuk sepanjang hari,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada MBSA yang dijangka mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Ringkasan AI
- PIBG SMK Setia Alam mendesak MBSA mengambil tindakan segera menyelesaikan isu keselamatan di hadapan sekolah
- Ibu bapa bimbang risiko kemalangan di Persiaran Setia Prima menyebabkan cadangan penambahan tiga bonggol keselamatan
- Terdapat pengguna kenderaan memotong melalui laluan lencongan di hadapan pintu utama sekolah
- Seramai 1,700 pelajar termasuk 294 calon SPM berisiko tinggi terutama pada waktu puncak
- Cadangan menyediakan anggota RELA tidak dapat dilaksanakan kerana kos tinggi dan masalah pemandu yang tidak memberi kerjasama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

