Bung Moktar sentiasa berzikir di Dewan Rakyat - Mohd Shahar

SHAH ALAM - Di sebalik reputasi sebagai pemimpin tegas dan lantang, terdapat sisi peribadi Datuk Seri Bung Moktar Radin yang tidak diketahui umum.
Menurut Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu sering kelihatan memegang tasbih di tangan setiap kali berada di dalam Dewan Rakyat.
Katanya, Bung Moktar sering berzikir dan ia mendamaikan hati.
"Jarinya sentiasa menggenggam tasbih. Zikir perlahan yang sering melingkari ruang di antara kami, zikir yang tidak kuat tetapi cukup untuk membuat hati ini merasa damai.
"Itulah bunyi yang kini tinggal sebagai kenangan," ujarnya pada Jumaat.
Perkara tersebut dikongsi Mohd Shahar menerusi laman Facebook miliknya.
Video berdurasi 25 saat itu memaparkan Bung Moktar sedang membetulkan pin Mohd Shahar.
Mohd Shahar berkata, kenangan itu merupakan satu detik kecil, tetapi penuh makna.
Jelasnya lagi, Bung Mokhtar sememangnya seorang yang suka membantu dalam senyap.
"Beliau hadir dengan ihsan, lebih banyak lembutnya daripada yang dunia sempat tahu.
"Semoga Allah melapangkan perjalanannya, mengampunkan segala salahnya, dan menempatkannya di taman-taman yang tenang.
"Pergimu tidak hilang, hanya berpindah ruang, zikirmu masih hadir, mengusap relung yang bimbang.
"Budi yang kau tinggal, menjadi doa yang panjang, Semoga damai menjemputmu, dalam kasih Allah yang lapang. Al-Fatihah, damailah sahabatku di sana," ujarnya.
Bung Moktar disahkan telah meninggal dunia pada jam 1.46 pagi.
Pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan berusia 66 tahun itu disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan menerusi hantaran di Facebooknya.
Ringkasan AI
- Bung Moktar Radin dikenali sebagai pemimpin tegas dan lantang
- Sering memegang tasbih dan berzikir di Dewan Rakyat
- Mohd Shahar Abdullah mengenang Bung Moktar sebagai individu yang membantu dalam senyap
- Detik peribadi antara Bung Moktar dan Mohd Shahar dikongsi melalui video di Facebook
- Bung Moktar disahkan meninggal dunia pada usia 66 tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

