HARA 2025: Bertindak tanpa gentar, bukan sekadar sambutan

KENYATAAN tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bahawa ‘tiada siapa boleh enjoy duit rasuah’ menggambarkan realiti serius dalam pentadbiran negara. Rasuah masih berlaku secara meluas dan merentas semua sektor.
Statistik yang didedahkan pula menunjukkan lebih 2,000 tangkapan dalam tempoh dua tahun ini, membuktikan rasuah bukan lagi isu terpencil tetapi budaya yang telah berakar.
Azam menegaskan bahawa siasatan tidak akan memilih masa atau individu. Kritikan bahawa SPRM menyiasat ‘kes lama’ dijawab dengan jelas. Selagi berlaku kehilangan besar, duit itu mesti dipulangkan.
Pendekatan tersebut tepat kerana integriti tidak mengenal ‘tarikh luput’. Malah, fokus baharu SPRM iaitu memulangkan aset dan mengurangkan ketirisan adalah aspirasi rakyat yang mahu keadilan, bukan sekadar melalui hukuman tetapi pemulihan kerugian negara.
Namun, usaha SPRM sahaja tidak mencukupi. Rasuah bercambah apabila sistem memberi ruang, pengawasan perolehan longgar, audit lemah, gaya hidup luar biasa tidak dipersoal dan pelapor maklumat tidak dilindungi secukupnya.
Azam sendiri menegaskan keperluan memantau perubahan gaya hidup pegawai kerana di situlah petunjuk awal bermula.
Jika negara benar-benar mahu bergerak ke arah sifar toleransi, beberapa pembaharuan mesti disegerakan. Pertama, kewajiban isytihar harta secara berkala dan audit gaya hidup bebas bagi penjawat awam serta ahli politik.
Kedua, tender kerajaan perlu dilaksanakan secara telus melalui sistem terbuka. Ketiga, perlindungan terhadap pemberi maklumat mesti diperkuat agar rakyat berani melapor.
Justeru, Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 yang disambut hari ini wajar menjadi pemangkin budaya baharu. Masyarakat yang menolak rasuah, pemimpin yang tidak sembunyi tangan dan institusi yang berani bertindak tanpa gentar.
Kerana hanya dengan keberanian kolektif, rasuah tidak lagi menjadi ’jalan pintas’ tetapi jenayah yang memalukan seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
