Risiko berat sebelah, sekat kebebasan bersuara

SHAH ALAM - Pempengaruh media sosial meminta kerajaan mempermudahkan proses pentauliahan sekiranya mereka diwajibkan memiliki kelayakan tertentu untuk mengulas isu profesional secara terbuka di platform dalam talian.
Pencipta kandungan keagamaan, Izzul Islam Mohd Shuhaimi berkata, mekanisme pentauliahan sememangnya penting, namun pelaksanaannya perlu dibuat tanpa mengekang kebebasan bersuara atau menutup ruang kepada individu yang mahu menyampaikan kebaikan kepada masyarakat.
“Jangan sekat orang yang nak bercakap tentang agama tetapi perkasakan mereka dengan mempermudahkan urusan tauliah.
"Sebelum kerajaan mempertimbangkan penggubalan peraturan baharu seperti dilaksanakan di China yang mewajibkan pencipta kandungan memiliki ijazah atau kelayakan tertentu, langkah lebih berkesan ialah memperkukuh peraturan sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi pencipta kandungan berkaitan isu politik, Dediy Sulaeman Ra’e berpendapat, media sosial bukan ruang eksklusif untuk golongan bertauliah semata-mata, sebaliknya platform yang membenarkan semua pihak menyuarakan pandangan.
“Kita tahu bagaimana pendekatan China terhadap rakyatnya. Takkan kita nak ikut cara itu, nanti matilah kebebasan bersuara di negara ini,” katanya yang lebih dikenali sebagai Dd Chronicles.
Menurut beliau, sijil tauliah mungkin dilihat sebagai langkah yang baik, namun berpotensi menjadi alat untuk menutup mulut pengkritik atau individu yang tidak sehaluan dengan pihak tertentu.
Malah, katanya, proses mendapatkan pentauliahan juga berisiko berat sebelah jika tidak dilaksanakan dengan telus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

