'Kalau mahu siasat saya, silakan' - Peguam Albert Tei

KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili Albert Tei mengalu-alukan sebarang tindakan pihak berkuasa untuk menyiasatnya, susulan ahli perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat kes memberi rasuah.
Peguam, Mahajoth Singh yang mewakili Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, berkata, undang-undang jelas menyatakan kedudukannya sebagai pasukan pembelaan tidak mempunyai hak untuk mendedahkan sebarang maklumat mengenai anak guam sendiri.
“Kalau mahu siasat saya, silakan, tetapi atas kesalahan apa? Saya katakan, ugutan anda gagal.
“Buat sahajalah perkara yang dirasakan perlu, kerana saya juga akan buat tindakan yang difikirkan penting,” katanya ketika sidang akhbar.

Beliau berkata, sebelum ini pihak berkuasa mengajaknya untuk berbincang supaya menjadi saksi pendakwaan namun setelah diminta untuk menyerahkan notis panggilan siasatan, sehingga kini perkara berkenaan tidak diendahkan.
Ditanya sama ada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin menyerahkan notis tersebut pada minggu depan, beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku.
“Saya bimbang berhutang dengan anak guam, sedangkan saya terikat dengan tugas,” katanya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dakwaan agensi penguatkuasa itu telah melanggar Seksyen 46 Akta SPRM 2009 dalam menjalankan siasatan terhadap Mahajoth sebagai tidak berasas.
Menurutnya, siasatan telah dibuka terhadap peguam terbabit selepas keengganannya untuk bekerjasama dengan SPRM.
Katanya, peguam itu hadir ke pejabat Isnin tetapi tidak mahu memberi kerjasama supaya menyerahkan eksibit yang diperlukan.
Media sebelum ini melaporkan, Mahajoth yang mewakili Albert menafikan dakwaan SPRM bahawa beliau memiliki 'bukti penting'.
Mahajoth menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar dan keterlaluan, seolah-olah mengelirukan orang ramai mengenai peranannya sebagai peguam bela.
Mahajoth turut menafikan, beliau mempunyai telefon bimbit yang didakwa milik usahawan yang menjalankan perniagaan di Sabah dan Sarawak termasuk Singapura.
Beliau menegaskan bahawa, dokumen yang diminta SPRM, hakikatnya dilindungi oleh hak keistimewaan komunikasi antara peguam dengan anak guam.
Ringkasan AI
- Peguam mewakili Albert Tei mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa susulan dakwaan rasuah
- Undang-undang melindungi maklumat antara peguam dengan anak guam, tidak boleh didedahkan
- Peguam itu ditawarkan menjadi saksi pendakwaan tapi diminta notis panggilan siasatan oleh SPRM
- Siasatan terhadap peguam dibuka selepas keengganannya bekerjasama dengan SPRM
- Peguam menafikan memiliki 'bukti penting' yang didakwa oleh SPRM, termasuk telefon bimbit usahawan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

