Isyarat PRN Sabah: BN, UMNO jangan terlepas nilai gelombang rakyat

Ahmad (berdiri, tujuh dari kanan) bersama ahli-ahli Kelab Sukan dan Kebajikan JKR Johor di Madrasah Thafiz Pendita Madani, di Kampong Parit Yusof, Benut, Pontian pada Khamis.
Ahmad (berdiri, tujuh dari kanan) bersama ahli-ahli Kelab Sukan dan Kebajikan JKR Johor di Madrasah Thafiz Pendita Madani, di Kampong Parit Yusof, Benut, Pontian pada Khamis.
A
A
A

PONTIAN – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu lebih teliti dalam memahami gelombang rakyat bagi mengelakkan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang, susulan perubahan ketara yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah minggu lalu.

Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkembangan di Sabah memberi isyarat jelas bahawa sentimen rakyat boleh berubah pada bila-bila masa sekiranya parti gagal memahami gelombang semasa.

Menurutnya, PRN Sabah ke-17 memperlihatkan gelombang kenegerian yang kuat, sekali gus mendorong rakyat memilih parti tempatan berbanding parti berasaskan Semenanjung.

“Sebagai orang politik, kita mesti memahami gelombang di hadapan. Kalau tidak membaca gelombang itu, kita akan tewas. Di Sabah, gelombangnya jelas rakyat mahu parti lokal memerintah

"Saya harap urusetia War Room UMNO negeri-negeri dapat memperhalusi apa yang berlaku di Sabah dan melakukan tindakan susulan. Tidak perlu menunggu tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen,” katanya.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata demikian selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor di Maahad Tahfiz Pendita Madani, Kampung Parit Yusof, Benut pada Khamis.

PRN Sabah ke-17, menyaksikan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 kerusi, diikuti Warisan (25) BN (6), Bebas (5), UPKO (3), Starsabah (2) Perikatan Nasional (1), KDM (1) dan Pakatan Harapan (1).

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, daripada 73 kerusi yang dipertandingkan di Sabah, hanya lapan dimenangi parti dari Semenanjung iaitu BN, PH dan PN.

Katanya, selebihnya dimenangi parti tempatan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan serta beberapa calon Bebas.

Artikel Berkaitan:

“Ini menunjukkan sentimen ‘Sabah for Sabahan’ semakin kuat walaupun UMNO sudah 34 tahun berada di Sabah,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu turut menyentuh isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang menurutnya antara faktor menyumbang kepada sentimen anti-Semenanjung kerana maklumat sebenar tidak sampai kepada rakyat.

Tegasnya, UMNO dan BN perlu merangka strategi lebih realistik daripada sekarang untuk menghadapi PRU16, khususnya di Sabah di mana BN mempunyai enam kerusi Parlimen.

"Kita tidak mahu kehilangan kerusi yang sudah dimiliki kerana ia menyumbang kepada kekuatan peringkat nasional," ujarnya.

Ringkasan AI

  • UMNO dan BN perlu lebih memahami gelombang rakyat untuk mengelak kekalahan di PRU16
  • Perubahan ketara di Sabah menunjukkan sentimen rakyat boleh berubah jika parti gagal memahami keadaan
  • PRN Sabah memperlihatkan gelombang kuat kenegerian, rakyat memilih parti lokal berbanding parti berasaskan Semenanjung
  • Kebanyakan kerusi di Sabah dimenangi oleh parti lokal, menunjukkan sentimen 'Sabah for Sabahan' semakin kuat
  • UMNO dan BN disarankan merangka strategi realistik untuk menghadapi PRU16 di Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!