Ringgit meningkat kepada paras tertinggi baharu dalam 14 bulan susulan dolar AS lemah

Ringgit melonjak ke paras tertinggi baharu dalam 14 bulan berbanding dolar AS berikutan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed AS. Gambar hiasan
Ringgit melonjak ke paras tertinggi baharu dalam 14 bulan berbanding dolar AS berikutan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed AS. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT melonjak ke paras tertinggi baharu dalam tempoh 14 bulan berbanding dolar AS pada Rabu, mencapai 4.1200 ketika ditutup hari ini berikutan jangkaan berterusan terhadap penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) minggu depan, yang memberi tekanan ke atas dolar.

Pada jam 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.1200/1235 berbanding dolar AS daripada 4.1275/1330 semasa ditutup pada Selasa.

Mata wang tempatan itu melebihi paras tertinggi yang direkodkan pada 30 September 2024, apabila ditutup kepada 4.1210 berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed minggu depan telah mengukuhkan ringgit memandangkan keputusan itu akan merapatkan jurang perbezaan kadar antara kadar dana Fed dan kadar dasar semalaman Malaysia.

"Berdasarkan kontrak niaga hadapan kadar faedah, kebarangkalian kepada penurunan kadar faedah (AS) minggu depan telah meningkat kepada lebih 90 peratus pada masa ini," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.4697/4744 daripada 5.4524/4597 semasa ditutup pada Selasa, rendah berbanding euro kepada 4.7982/8022 daripada 4.7920/7984, dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.6476/6501 daripada 2.6463/6500.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1810/1839 daripada 3.1816/1861 semasa ditutup pada Selasa, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 247.7/248.1 daripada 248.2/248.7 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.99/7.00 daripada 7.05/7.06 semalam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.9024/9186 daripada 12.8928/9164 sebelum ini. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • RINGGIT melonjak ke paras tertinggi baharu dalam 14 bulan berbanding dolar AS berikutan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed AS
  • Mata wang tempatan itu melebihi paras tertinggi sebelumnya yang direkodkan pada 30 September 2024
  • Jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed berperanan dalam pengukuhan ringgit
  • Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama tetapi kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN
  • Penutupan perdagangan melihat ringgit susut berbanding pound Britain, euro dan yen Jepun tetapi meningkat berbanding dolar Singapura, rupiah Indonesia dan peso Filipina

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!