Malaysia antara destinasi percutian termurah di Asia - Agoda

KUALA LUMPUR - Malaysia muncul sebagai salah satu daripada tiga destinasi paling menjimatkan bagi perjalanan akhir tahun di Asia.
Platform pelancongan digital, Agoda memaklumkan data Agoda yang dikumpul daripada tempahan penerbangan antara 1 September hingga 19 November lalu (untuk pelepasan 20 hingga 31 Disember) menunjukkan penerbangan domestik mampu milik itu bermula serendah RM37 bagi laluan Bario ke Miri, Sarawak.
Laluan tersebut adalah pilihan ideal bagi mereka yang inginkan percutian berteraskan budaya dan alam semula jadi, kerana ia menawarkan pintu masuk unik ke kawasan tanah tinggi Sarawak, sawah padi yang indah serta komuniti rumah panjang tradisional.
Korea Selatan turut berkongsi kedudukan kedua bersama Malaysia, dengan laluan Jeju ke Seoul yang menawarkan percutian mesra bajet ke pantai indah di pulau dan ibu kota tersebut.
Ditangga teratas ialah Thailand dengan laluan Udon Thani ke Bangkok bermula serendah RM25.

Bagi segmen perjalanan antarabangsa pula, Malaysia dan Indonesia menawarkan tambang paling mesra bajet dengan penerbangan bagi laluan Johor Bahru- Phuket, Thailand serta Pontianak- Kuching bermula serendah RM103.
Thailand pula menduduki tempat kedua dengan penerbangan Krabi-Kuala Lumpur yang boleh ditempah pada harga RM115 dan senarai ini dilengkapkan dengan Korea Selatan (RM132), Jepun (RM161), Taiwan (RM46), Vietnam (RM190) dan India (RM301).
Dalam pada itu, Pengarah Negara bagi Malaysia dan Brunei di Agoda, Fabian Teja berkata, musim cuti hujung tahun kekal sebagai tempoh paling sibuk bagi industri pelancongan.
"Ramai yang merancang untuk bertemu orang tersayang atau menikmati percutian yang dinanti-nantikan.
"Dengan rangkaian penerbangan yang luas serta pelbagai pilihan perjalanan mesra bajet, Agoda berusaha membantu para pelancong mendapatkan tawaran terbaik agar percutian mereka bukan sahaja berpatutan malah, mencipta kenangan yang sukar untuk dilupakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Agoda menawarkan lebih 130,000 laluan penerbangan, lebih 6 juta pilihan penginapan dan lebih 300,000 aktiviti liburan bagi membolehkan pelancong merancang percutian lebih mudah dalam satu platform.
Ringkasan AI
- Malaysia muncul sebagai salah satu daripada tiga destinasi paling menjimatkan bagi perjalanan akhir tahun di Asia
- Penerbangan domestik di Malaysia bermula serendah RM37 bagi laluan Bario ke Miri, Sarawak
- Laluan Jeju ke Seoul di Korea Selatan dan Udon Thani ke Bangkok di Thailand juga menawarkan pilihan percutian mesra bajet
- Malaysia dan Indonesia menawarkan tambang penerbangan antarabangsa paling mesra bajet dengan harga serendah RM103
- Agoda menawarkan lebih 130,000 laluan penerbangan, lebih 6 juta pilihan penginapan dan lebih 300,000 aktiviti liburan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
