Spekulasi tamat, Zambry kekal Senator, teruskan agenda KPT

Zambry - Foto fail Bernama
Zambry - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan, pelantikan semula sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua adalah sebagai tanggungjawab untuknya meneruskan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara.

Bercakap kepada pemberita, Zambry turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melanjutkan tugas beliau sebagai senator sehingga 2 Disember 2028.

"Saya menganggap ini satu tanggungjawab yang perlu diteruskan," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas upacara angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Pelantikan semula itu sekali gus menokhtahkan tanda tanya dan spekulasi mengenai kedudukannya bersama dua yang lain selepas perkhidmatan penggal pertama tamat pada Selasa.

Selain Zambry, turut mengangkat sumpah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Dalam pada itu, Zambry turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencalonkan namanya untuk meneruskan tugas sebagai anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan.

"Portfolio? Setakat ini masih sama," ujar beliau.

Sementara itu, dalam kenyataan Anwar memaklumkan, senarai Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Madani akan diputuskan kelak selepas proses pertimbangan yang cermat, berhemah dan benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, terdapat tiga kekosongan dalam Kabinet iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRESS) dan Kementerian Ekonomi.

Ringkasan AI

  • Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilantik semula sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua sebagai tanggungjawab meneruskan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara
  • Zambry menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan semulanya sehingga 2 Disember 2028
  • Pelantikan semula itu menjawab tanda tanya dan spekulasi tentang kedudukan Zambry serta dua menteri lain setelah tamat perkhidmatan penggal pertama
  • Selain Zambry, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar turut mengangkat sumpah
  • Perdana Menteri Anwar menyatakan senarai Menteri dan Timbalan Menteri akan diputuskan kelak berdasarkan kepentingan rakyat dan hala tuju reformasi negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!