Hujan berterusan dijangka landa beberapa negeri mulai 5 hingga 8 Disember - MetMalaysia

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Rabu mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung, Sarawak dan Sabah dari 5 hingga 8 Disember ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata hujan berterusan dijangka berlaku di Sabah melibatkan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat dari 5 hingga 6 Disember.
Beliau berkata hujan berterusan turut dijangka berlaku dari 6 hingga 7 Disember di Kelantan membabitkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, seluruh Terengganu serta Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin).
“Pada 7 dan 8 Disember, hujan berterusan diramal berlaku di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor manakala Sarawak di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong) , Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah dan Bintulu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca atau menerusi platfom media sosial jabatan itu, selain menghubungi talian hotline1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa negeri di Semenanjung, Sarawak dan Sabah dari 5 hingga 8 Disember
- Hujan berterusan dijangka berlaku di Sandakan dan Kudat, Sabah pada 5 hingga 6 Disember
- Kelantan, Terengganu, dan Pahang akan mengalami hujan berterusan dari 6 hingga 7 Disember
- Johor dan Sarawak turut dijangka mengalami hujan berterusan pada 7 dan 8 Disember
- Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web MetMalaysia, aplikasi myCuaca atau media sosial jabatan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
