[VIDEO] Bukti rakaman video nafikan dakwaan salah laku SPRM serbu rumah Albert

A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan bahan bukti termasuk rakaman video semasa tindakan dijalankan ke atas kediaman ahli perniagaan Albert Tei sekali gus menolak dakwaan salah laku pegawai operasi ketika serbuan terbabit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai SPRM dilengkapi dengan alat rakaman termasuk kamera badan.

"Semua tindakan dijalankan mengikut prosedur undang-undang dan pegawai kita dibekalkan dengan rakaman yang dibuat.

"Semua ada bahan bukti yang boleh menolak semua dakwaan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Rabu.

Tambahnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kediaman terbabit juga diambil SPRM dan laporan polis dibuat bagi menunjukkan bahawa tiada isu salah guna kuasa oleh pegawai operasi.

Jelas Azam, SPRM melaksanakan tugas dengan mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standar.

"Dalam tindakan kita menguatkuasakan undang-undang, kita boleh mengambil apa-apa juga ekshibit dan difikirkan adalah perlu dan patut untuk membantu siasatan," ujarnya.

Selain itu, Azam turut menafikan tindakan pegawai operasi yang mengacukan pistol ke kepala Albert Tei ketika menjalankan tangkapan terhadap individu berkenaan pada Jumaat lalu.

"Tohmahan daripada isteri beliau (Albert) kononnya pegawai saya acukan pistol.

Artikel Berkaitan:

"Kita buat laporan polis dan saya serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan dan kami terbuka dalam hal ini. Kita serahkan bukti rakaman kepada pihak polis dan pegawai saya terlibat dalam kes (operasi) telah dipanggil bantu siasatan polis. Jadi tiada apa yang perlu dilindungi," ujarnya.

Mengulas mengenai dakwaan SPRM merampas barangan berharga milik ahli perniagaan itu tanpa pengetahuan, Azam menegaskan, senarai barangan rampasan sudah diserahkan kepada Albert pada hari tangkapannya dan ia ditandatangani sendiri olehnya.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa barangan seperti telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang disita hasil serbuan di kediaman Albert Tei ialah bahan bukti kes yang disiasat.

Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM dilaporkan berkata, barangan berkenaan diberi oleh ahli perniagaan itu kepada pegawai SPRM dan satu salinan dokumen Senarai Penyitaan Harta Alih di bawah Seksyen 33 Akta SPRM 2009 turut diserahkan kepadanya pada Jumaat lalu.

 

Ringkasan AI

  • SPRM merekod bahan bukti termasuk video semasa serbuan ke kediaman Albert Tei
  • Pegawai SPRM dilengkapi alat rakaman dan tindakan mengikut prosedur undang-undang
  • Rakaman CCTV kediaman dan laporan polis dibuat membuktikan tiada salah guna kuasa
  • Azam Baki menafikan pegawai SPRM mengacukan pistol ke kepala Albert Tei
  • Senarai barangan yang dirampas diserahkan kepada Albert Tei dan ditandatangani olehnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!