Cubaan seludup dadah dalam teh Cina, patung permainan terbongkar

Antara dadah yang dirampas di KLIA pada 19 November lalu.
Antara dadah yang dirampas di KLIA pada 19 November lalu.
A
A
A

SEPANG – Cubaan dua warga asing menyeludup hampir 15 kilogram (kg) dadah yang disembunyikan dalam kotak teh Cina dan patung permainan dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA pada 19 November lalu.

Pengarah Kastam JKDM LTAKL, Zulkifli Muhammad berkata, kedua-dua suspek, seorang lelaki warga China dan seorang wanita warga Thailand ditahan selepas imej imbasan bagasi mereka menimbulkan syak kepada anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Bahagian Penguatkuasaan JKDM LTAKL.

"Pemeriksaan ke atas bagasi warga China menemukan beberapa bungkusan kecil berwarna kuning berisi serbuk disyaki ketamin yang disembunyikan dalam tin dan kotak merah berlabel Refined Chinese Tea.

"Bagi bagasi warga Thailand pula pegawai menemukan objek berbentuk kapsul berisi serbuk disyaki kokain yang disorok di dalam patung soft toy," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan bersama barang rampasan sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM LTAKL untuk siasatan lanjut.

"Jumlah keseluruhan rampasan melibatkan 2.7kg ketamin bernilai lebih RM135,000 dan 12kg kokain bernilai lebih RM2.4 juta.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM2.53 juta, ketamin dan kokain adalah bahan yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Orang ramai diminta terus bekerjasama mengekang aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan kerugian hasil negara, malah mengancam keselamatan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau di mana-mana pejabat Kastam berhampiran. Identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Cubaan menyeludup hampir 15kg dadah dipatahkan di LTAKL
  • Dua warga asing ditahan kerana cubaan tersebut
  • Dadah terdiri daripada ketamin dan kokain disorok dalam kotak teh Cina dan patung permainan
  • Jumlah keseluruhan rampasan bernilai lebih RM2.53 juta
  • Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!