Guru SK Seri Paka hasilkan pelindung muka untuk kakitangan kesihatan

Nurfatiha dan beberapa guru serta YDP PIBG SK Seri Paka berpakat menghasilkan sendiri alatan pelindung muka untuk digunakan oleh kakitangan Klinik Kesihatan Paka. -Foto: Facebook Nurfatiha
Nurfatiha dan beberapa guru serta YDP PIBG SK Seri Paka berpakat menghasilkan sendiri alatan pelindung muka untuk digunakan oleh kakitangan Klinik Kesihatan Paka. -Foto: Facebook Nurfatiha
A
A
A

DUNGUN - Kekurangan bekalan alat pelindung muka atau 'face shield' di Klinik Kesihatan Paka, di sini mendorong sekumpulan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Paka mengambil inisiatif menghasilkan sendiri peralatan itu.

Nurfatiha Abd Manaf,33, berkata, projek menghasilkan satu daripada komponen perlindungan diri (PPE) itu sebagai langkah keselamatan untuk mengelakkan petugas kesihatan terdedah secara langsung dengan virus koronavirus (Covid-19).

Katanya, usaha itu mendapat sokongan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SESKA (Mega Akademik Paka), Azuwan Fendy serta kumpulan guru lain untuk digunakan kakitangan kesihatan di klinik berkenaan.

"Kami dapat tahu klinik itu kekurangan bekalan alat pelindung muka, jadi saya bersama-sama guru lain cuba cari inisiatif untuk buat sendiri peralatan itu.

"Kaedah untuk membuat sendiri alatan itu pada mulanya diperoleh hasil 'tutorial' menerusi YouTube kemudian kakitangan klinik itu sendiri ada memberitahu bagaimana cara untuk hasilkan alatan itu," katanya.

Menurutnya, disebabkan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), agak sukar untuk mendapatkan barangan itu di pasaran.

Nurfatiha menyerahkan alatan pelindung muka kepada Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Paka, Mohd Hafizul Talib. -Foto: Facebook Nurfatiha
Nurfatiha menyerahkan alatan pelindung muka kepada Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Paka, Mohd Hafizul Talib. -Foto: Facebook Nurfatiha

"Mujurlah inisiatif ini mendapat kerjasama daripada YDP PIBG yang kebetulan memiliki premis jualan alat tulis, jadi usaha untuk menghasilkan 'face shield' ini lebih mudah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nurfatiha berkata, beliau bersama tiga lagi guru hanya menggunakan empat bahan iaitu A4 transparent sheets, foam padding, double sided tapes dan elastics rubber.

Katanya, setakat ini sebanyak 100 alat pelindung muka pakai buang telah dihasilkan dalam tempoh sehari dan telah diserahkan kepada kakitangan Klinik Kesihatan Paka melalui Penolong Pegawai Perubatan, Mohd Hafizul Talib dan Jururawat Masyarakat, Zanariah Ahmad.

"Kita dah buat dalam 100 alatan pelindung muka. Ianya mudah dan disiapkan dalam tempoh sehari bermula jam 11.30 pagi hingga 4 petang.

"Saya difahamkan ada lagi beberapa klinik yang kekurangan bekalan itu, sekiranya ada permohonan untuk kami bantu, kami akan cuba hasilkan lebih banyak lagi alatan ini.

"Macam petugas kesihatan sendiri mereka tahu cara untuk buat, namun disebabkan kekangan masa tambahan pula berhadapan kes (Covid-19), mereka tiada masa untuk buat sendiri alatan ini.

"Jadi, kita yang di rumah ini cuba yang terbaik untuk bantu mereka," katanya.