Sekolah Rahmah pemangkin integriti

INTEGRITI ialah asas penting dalam pembinaan masyarakat dan negara bermaruah, sejahtera dan berdaya saing.
Ia merujuk kepada keselarasan antara nilai, prinsip serta tingkah laku berasaskan kejujuran, keadilan dan tanggungjawab.
Kajian mendapati integriti bukan sahaja berkait watak moral individu tetapi petunjuk kepada kepercayaan rakyat terhadap sistem tadbir urus negara.
Dalam masa sama, gejala rasuah masih menjadi ancaman serius terhadap kemajuan Malaysia kerana menjejaskan kecekapan institusi, ketelusan pentadbiran serta kesejahteraan sosial.
Justeru, usaha memperkukuh integriti dan antirasuah mesti bermula lebih awal, bukan sekadar melalui penguatkuasaan undang-undang tetapi menerusi pembinaan nilai jati diri dan akhlak sejak di sekolah.
Konsep Sekolah Rahmah seperti diketengahkan melalui dasar pendidikan berteraskan pembinaan insan rabbani mempunyai potensi besar menyokong usaha nasional membanteras rasuah dan mengukuhkan integriti.
Sekolah Rahmah menekankan nilai rahmah, keadilan, kesaksamaan, kesantunan dan penghargaan terhadap kepelbagaian sebagai asas budaya sekolah.
Kekuatan konsep ini bukan sekadar pada kurikulum, tetapi dalam pendekatan menyeluruh terhadap pendidikan akhlak dan pembinaan karakter.
Pertama, Sekolah Rahmah memberi fokus kepada pembentukan akhlak dan nilai sejak awal persekolahan.
Kajian mendapati kekurangan kefahaman terhadap integriti dan salah tafsiran terhadap tingkah laku rasuah sering menjadi punca kepada ketidakpatuhan dalam masyarakat (Khadijah, 2024).
Dengan memasukkan elemen akhlak, takwa, keadilan, amanah dan tazkiyat al-nafs (penyucian jiwa) dalam pembelajaran dan kokurikulum, Sekolah Rahmah membantu membina penapis dalaman supaya generasi muda mampu mengenal pasti perkara salah walaupun tiada penguatkuasaan.
Kedua, konsep kepimpinan murabbi dalam Sekolah Rahmah menjadikan pendidik bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi teladan memimpin melalui kasih sayang, adab dan prinsip integriti tinggi.
Kanak-kanak membesar dengan 'meniru' autoriti terdekat dalam kehidupan mereka dan apabila guru mempamerkan amalan telus, adil dan bertanggungjawab, ia membentuk identiti pelajar sebagai bakal pemimpin beretika.
Ketiga, Sekolah Rahmah dapat membentuk ekosistem sekolah yang mengamalkan integriti secara sistemik.
Hal ini selari dengan keperluan sektor pendidikan Malaysia untuk membangunkan budaya antirasuah melalui dasar, polisi dan sistem pelaporan telus (KPM, 2024).
Apabila sekolah mengamalkan ketelusan dalam pengurusan sumber, penilaian, disiplin, pemilihan pelajar dan pelaksanaan program, pelajar akan mempelajari bahawa integriti bukan hanya konsep teori tetapi amalan hidup.
Akhir sekali, pendekatan Sekolah Rahmah dapat mempersiapkan generasi pewaris negara bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki kekuatan moral menolak rasuah dan salah guna kuasa.
Kajian menunjukkan kes rasuah dalam kalangan ahli politik Malaysia memberi gambaran pendidikan integriti generasi terdahulu tidak cukup signifikan untuk menjadi sistem pertahanan diri.
Maka, pendidikan nilai dari akar umbi ialah keperluan, bukan pilihan.
Kesimpulannya, agenda integriti dan antirasuah untuk Malaysia tidak boleh bergantung kepada undang-undang dan penguatkuasaan semata-mata.
Ia mesti bermula dari sekolah tempat nilai, akhlak dan identiti dibentuk.
Konsep Sekolah Rahmah menawarkan jalan pendidikan holistik untuk melahirkan insan rabbani berkarakter, berintegriti dan memiliki keberanian moral untuk menolak rasuah dalam apa jua bentuk.
Jika negara inginkan masa depan kepimpinan yang bersih, telus dan beramanah, pendidikan berasaskan rahmah perlu diberi ruang yang besar dalam sistem pendidikan arus perdana.
*Saharuddin Yusoff ialah Yang Dipertua, Pertubuhan IKRAM Malaysia Kawasan Manjung
Ringkasan AI
- Integriti adalah asas penting dalam pembinaan masyarakat dan negara yang bermaruah dan sejahtera
- Integriti merujuk kepada keselarasan nilai, prinsip, dan tingkah laku berasaskan kejujuran, keadilan, dan tanggungjawab
- Sekolah Rahmah menekankan nilai rahmah, keadilan, dan penghargaan terhadap kepelbagaian sebagai asas budaya sekolah
- Pendekatan Sekolah Rahmah membina penapis dalaman melalui pendidikan akhlak dan pembinaan karakter sejak awal persekolahan
- Pengamalan integriti secara sistemik dalam ekosistem Sekolah Rahmah membantu melahirkan generasi muda yang menolak rasuah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

