Agrobank saran pesawah segera daftar Skim Takaful Tawaran Padi

AGROBANK menyeru pesawah segera melengkapkan Borang Cadangan Takaful dan membuka akaun simpanan di Agrobank bagi melayakkan mereka menerima manfaat di bawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) secara percuma.
Skim terbabit bertujuan memberi perlindungan kepada pesawah khususnya mereka yang terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.
Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Syed Hairul Anuar Syed Fadzil berkata, masih terdapat pesawah belum membuka akaun dan melengkapkan proses pendaftaran melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) walaupun skim terbabit dilancarkan dan ditawarkan secara percuma kepada kumpulan sasar.
"Setakat ini, dianggarkan terdapat 70,000 pesawah di seluruh negara namun jumlah yang mendaftar skim terbabit masih kecil.
"Agrobank bimbang bantuan tidak dapat disalurkan tepat pada masanya sekiranya penerima masih belum mengambil tindakan," katanya kepada media selepas majlis pelancaran Minggu Kelestarian Agrobank 2025, pada Selasa.
Skim tersebut menyediakan perlindungan takaful sehingga RM3,000 bagi bencana alam manakala bagi ancaman serangga perosak dan penyakit tanaman pesawah layak menerima perlindungan sehingga RM1,500.
"Pesawah yang terkesan akibat banjir baru-baru ini juga diminta segera membuat laporan kerosakan kepada PPK masing-masing bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak bank agar bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan," katanya.
Beliau berkata, pesawah hanya perlu membuka akaun simpanan Agrobank (tanpa deposit) untuk menerima manfaat skim terbabit.
Pada masa sama, Agrobank turut menawarkan moratorium selama enam bulan bagi membantu pelanggan sedia ada di seluruh negara yang terkesan akibat bencana banjir.
Dalam perkembangan lain, Agrobank melancarkan Minggu Kelestarian 2025, program lima hari bertujuan meningkatkan kesedaran, kefahaman serta tindakan dalam kalangan warga kerjanya terhadap agenda kemampanan dan isu perubahan iklim.
Dalam kenyataannya, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Minggu Kelestarian bukan sekadar program kesedaran tetapi langkah penting dalam menggerakkan tindakan sebenar.
"Melalui pelancongan Net Zero Roadmap dan kerjasama strategik yang dimeterai, kami memastikan setiap warga Agrobank memahami peranan mereka dalam menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan mampan," katanya.
Menurut beliau, setakat ini Agrobank telah mentransformasi hampir 30 cawangannya menggunakan tenaga solar dan juga bakal memulakan penggunaan kenderaan elektrik sebanyak lima buah secara berperingkat bermula tahun hadapan.
Penganjuran inisiatif tersebut turut menandakan pelancaran rasmi Pelan Hala Tuju Sifar Bersih, Buku Panduan Amalan Hijau dan sorotan pencapaian utama perjalanan kemampanan Agrobank.
Majlis juga menyaksikan penyerahan Surat Lantikan (LOA) kepada Samaiden (solar PV) dan Maeko (kompos makanan) sekali gus menzahirkan komitmen Agrobank terhadap penyelesaian hijau yang memberi impak sebenar dalam pengurangan pelepasan gas rumah hijau, pengurusan sisa dan kecekapan tenaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

