10,000 pekerja terima manfaat di bawah CA GENM

KUALA LUMPUR - Kira-kira 10,000 pekerja di bawah Kesatuan Pekerja-Pekerja Genting Malaysia Berhad (GENM) bakal mendapat manfaat menerusi peningkatan gaji minimum kepada RM1,800 sebulan berbanding kadar statutori RM1,700 sebulan.
Ia antara penambahbaikan utama dibuat kesatuan dan pengurusan GENM melalui Perjanjian Kolektif (CA) ke-14 yang ditandatangani pada Isnin.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menzahirkan ucapan tahniah buat kedua-dua pihak atas yang konsisten dalam memperjuangkan kebajikan pekerja dan menyokong amalan tenaga kerja progresif.
Menurutnya, CA sebegini mencerminkan kerjasama berterusan antara GENM dan kesatuan sekali gus mengukuhkan hubungan jangka panjang serta kestabilan organisasi.
“Saya difahamkan CA kali ini melibatkan hampir 10,000 pekerja dan disempurnakan dalam masa hanya tiga bulan rundingan.
“Ini situasi menang-menang. Rundingan pantas dan keputusan yang adil seperti ini menunjukkan kematangan hubungan perusahaan.
“Ia memberi manfaat langsung kepada pekerja dan dalam masa sama mengukuhkan kestabilan syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis menandatangani CA ke-14 antara GENM dan Kesatuan Pekerja-Pekerja GENM di Wisma Genting di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Resort World Genting (RWG), Aaron Chia; Naib Presiden Kanan Sumber Manusia GENM, Tan Boo Chuan; Naib Presiden Tenaga Kerja dan Pampasan GENM, Yun Leong Yu dan Timbalan Presiden GENM, Lee Thiam Kit.
Peningkatan lain di bawah CA ke-14 merangkumi semakan elaun, manfaat perubatan dan rawatan pesakit luar untuk pekerja serta ahli keluarga terdekat, bayaran balik pengangkutan bagi tujuan rawatan perubatan, peruntukan faedah kematian serta pelarasan terhadap kenaikan tahunan.
Keseluruhan penambahbaikan mengukuhkan lagi komitmen syarikat dalam menyediakan pampasan dan faedah yang kompetitif untuk pekerja.
Steven menambah, dasar gaji progresif dan garis panduan gaji nasional akan terus diperkukuh bagi meningkatkan ketelusan serta memastikan pekerja menerima gaji permulaan yang wajar.
“Menteri datang dan pergi, tetapi sesiapa yang duduk di kerusi ini (kementerian) mesti turun padang dan berdiri bersama pekerja. Ini soal perjuangan pekerja, bukan soal individu,” katanya.
Sementara itu, Thiam Kit memaklumkan, perjanjian baharu turut memperuntukkan pelarasan gaji sebanyak 10 peratus buat pekerja yang layak dengan bayaran khas dari Ogos hingga Oktober 2025 disalurkan selewat-lewatnya 30 November (semalam).
Katanya, ia berkuat kuasa dari 1 Ogos lalu dan berkekalan sehingga 31 Julai 2028 melibatkan semua pekerja GENM yang sah.
Jelas beliau, ini membuktikan ketegasan komitmen bersama antara syarikat dan kesatuan dalam mempertingkatkan keadaan tempat kerja, memelihara kebajikan pekerja serta memupuk kestabilan jangka panjang organisasi.
“Pekerja adalah nadi GENM. Dedikasi dan komitmen mereka membuatkan kami bangga sebagai salah satu destinasi riadah hospitaliti terkemuka di Malaysia.
"CA bukan sekadar dokumen undang-undang, ia mencerminkan semangat kerjasama, persefahaman dan saling hormat-menghormati antara majikan serta pekerja.
“GENM kekal komited memupuk persekitaran kerja yang progresif dan menyokong usaha penambahbaikan berterusan, hasil kerjasama dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja GENM untuk tahun-tahun akan datang,” ujarnya.
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja GENM, Sikandar Ibrahim pula berpandangan, perkara dalam CA baharu memberikan kelegaan buat staf disebabkan adanya penambahbaikan dari segi kebajikan dan keselamatan.
“Penjagaan kesihatan ditambah dan diperluaskan kepada pasangan serta anak-anak pekerja, begitu juga faedah kematian.
“Kami juga berjaya merekrut 1,300 ahli baharu dalam masa dua bulan, menunjukkan betapa kuatnya solidariti sesama pekerja.
“Justeru, terima kasih saya ucapkan kepada Steven yang sudah tiga kali menyaksikan majlis sebegini dan juga Thiam Kit kerana di bawah kepimpinannya, kebajikan pekerja terjaga dengan amat baik,” katanya.
Ringkasan AI
- Kira-kira 10,000 staf GENM bakal nikmati gaji minimum RM1,800 sebulan
- Perjanjian Kolektif ke-14 antara GENM dan kesatuannya meningkatkan kebajikan pekerja
- Termasuk penambahbaikan elaun, manfaat perubatan dan faedah kematian
- Pelarasan gaji sebanyak 10 peratus disediakan untuk pekerja layak hingga Ogos - Oktober 2025
- Penambahbaikan CA mencerminkan komitmen kepada persekitaran kerja yang progresif dan kestabilan organisasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

