Duckside Bikerz kembara sambil infak ke 8 buah masjid unik di Kelantan

SERAMAI 11 ahli Duckside Bikers dan Team Kembara Masjid bersyukur selepas menjayakan program kembara sambil infak di lapan buah masjid unik di Kelantan baru-baru ini.
Ketua Grup Permotoran Duckside Bikerz dan Family MT, Mohamad Sumardi Mohamad Jais berkata, matlamat program tercapai apabila kesemua mereka selesai melawat lapan masjid ikonik di Kelantan dan menyantuni ahli jawatankuasa masjid selain menyampaikan sumbangan berjumlah lebih RM4,000.
“Sesuai dengan cogan kata Duckside Bikerz iaitu ‘Ride, ukhwah, santai, amal’, kali ini kami memilih untuk kembara ke Kelantan melawat masjid-masjid di sana untuk melihat sendiri dengan lebih dekat keunikan seni binanya.
“Kami mahu setiap ahli merasai pengalaman berbeza iaitu melihat masjid yang unik di Kelantan sambil menyampaikan sumbangan. Ia memberi makna lebih mendalam dalam aktiviti permotoran ini.

“Selain menyantuni ahli jawatankuasa masjid dan menghulurkan sumbangan, ahli-ahli juga berpeluang menikmati keindahan alam sepanjang perjalanan ke bumi Serambi Makkah itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Tambahnya, hasil kutipan ahli-ahli Duckside Bikerz dan Family MT itu, diharap dapat dimanfaatkan oleh pihak masjid di samping menjadi saham akhirat buat mereka.
Turut menyertai kembara tersebut, Imam Masjid Batang Kali, Anuar Abdul Rasyid yang juga ahli jawatankuasa Duckside Bikerz.
Ujarnya, pengisian kembara ini bukan sekadar santai, tetapi membawa misi ibadah dan kebajikan.

Program kembara ke masjid tersebut mendapat sambutan baik daripada ahli jawatankuasa masjid dan pihak masjid menyatakan penghargaan atas usaha mengimarahkan rumah ALLAH melalui ziarah dan aktiviti kebajikan.
Antara masjid yang dilawati Masjid Long Yunus, Masjid Sultan Ismail Petra dan Masjid Andalusia di Kota Bharu; Masjid Tengku Razaleigh dan Masjid Buluh (Gua Musang); Masjid Kampung Laut dan Masjid Ar-Rahman (Tumpat) dan Masjid Beijing di Rantau Panjang.
Menurut Anuar, pihak masjid di Kelantan sentiasa mengalu-alukan kehadiran kumpulan permotoran untuk melakukan program yang memberi manfaat kepada masjid dan masyarakat setempat.

Berikutan sambutan positif daripada pihak masjid dan juga ahli-ahli kembara, Duckside Bikerz mula merancang untuk menganjurkan kembara masjid siri kedua pada tahun hadapan.
“Insya-Allah dengan sokongan semua pihak, kita akan teruskan lagi kesinambungan program ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Seramai 11 ahli Duckside Bikers dan Team Kembara Masjid menjayakan program kembara sambil infak di lapan buah masjid unik di Kelantan Matlamat program tercapai dengan lawatan ke lapan masjid ikonik di Kelantan dan menyampaikan sumbangan berjumlah lebih RM4,000 Konsep kembara ini adalah untuk melihat keunikan seni bina masjid di Kelantan dan menyampaikan sumbangan sambil menikmati keindahan alam Program ini juga mendapat sambutan baik daripada ahli jawatankuasa masjid dan pihak masjid menyatakan penghargaan atas usaha mengimarahkan rumah ALLAH Duckside Bikerz mula merancang untuk menganjurkan kembara masjid siri kedua pada tahun hadapan berikutan sambutan positif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

