[VIDEO] Nubhan, isteri sah cerai talak kedua

SEPANG - [KEMAS KINI] Selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa, mengesahkan lafaz cerai penyanyi Ahmad Nubhan terhadap isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek pada Ogos lalu, menjatuhkan talak kedua.
Hakim Syarie, Ummamuddin Yunus memutuskan talak pertama pada 19 Januari 2017 jatuh pada talak satu sementara lafaz kedua secara talak rajie
pada 26 Ogos lalu.
Mahkamah mengarahkan Dr Afifah, 36, selaku defendan menjalani tempoh idah selama tiga kali suci bermula lafaz kedua.
"Kedua-dua lafaz cerai itu berlaku di luar dan tidak dibenarkan oleh mahkamah, jadi lain kali jangan buat lagi," kata hakim syarie itu ketika menasihati Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahamad, 39.
Semasa prosiding, beliau berkata, Nubhan selaku plaintif mengaku melafazkan cerai kali pertama ketika di dalam kereta di Jalan Senawang.
Bagaimanapun katanya, plaintif memberitahu tiga hari kemudian iaitu jam 10 malam pada 21 Januari 2017, pasangan itu rujuk dan kembali sebagai suami isteri dengan disaksikan dua saudara defendan.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan tersebut, mahkamah mengesahkan cerai dan rujuk tersebut sebagai sah serta mengikut syarak secara talak rajie.
Bagi lafaz cerai kedua jam 11.30 malam pada Ogos lalu, beliau berkata, mahkamah memutuskan jatuh talak terhadap defendan dengan talak satu secara rajie dan tiada lafaz rujuk dibuat.
Mahkamah kemudiannya meminta perceraian tersebut didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah Sepang.
Selepas prosiding, peguam syarie, Mohd Ridzuan Ramli yang mewakili bekas peserta musim keenam Akademi Fantasia (AF6) berkata, prosiding berjalan lancar tanpa sebarang persengketaan antara kedua-dua pasangan itu.
Katanya, plaintif dan defendan telah memberi keterangan ringkas bagi menjimatkan masa dan mengesahkan kedua-dua lafaz cerai serta satu rujuk dibuat sebelum ini.
Sementara itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili ibu kepada tiga anak berkata, mereka akan berunding dengan plaintif berhubung isu-isu selepas perceraian, antaranya tuntutan harta sepencarian, mutaah dan nafkah anak.
“Kita akan berunding dengan plaintif, jika ada kesepakatan, ia akan rekodkan terus kepada mahkamah," katanya.
Ahmad Nubhan dan Dr Afifah yang juga doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.
Ringkasan AI
- Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan lafaz cerai penyanyi Ahmad Nubhan terhadap isterinya Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek
- Hakim Syarie Ummamuddin Yunus memutuskan talak pertama jatuh pada 19 Januari 2017 dan talak kedua pada 26 Ogos
- Dr Afifah diarah menjalani tempoh edah selama tiga kali suci bermula lafaz kedua
- Kedua-dua lafaz cerai berlaku di luar mahkamah dan tidak dibenarkan
- Ahmad Nubhan dan Dr Afifah berkahwin pada 29 Ogos 2015 dan mempunyai tiga anak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
