Pasca PRN Sabah: Bung Moktar masih kunci mulut

KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin terus mengunci mulut biarpun keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 Sabah sudah diumumkan.
Sehingga malam Ahad, beliau masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan media atau memanggil pihak media untuk mengadakan sidang akhbar.
Pada Sabtu, para pengamal media dilihat menunggu di bawah Bangunan UMNO Sabah sejak jam 6 petang hingga 11.30 malam bagi mendapatkan reaksi mengenai keputusan PRN.
Namun, tiada kenyataan dikeluarkan oleh Bung Moktar.
Sebaliknya, hanya kenyataan media Presiden UMNO dikeluarkan, memaklumkan bahawa parti itu bersedia membentuk kerajaan dengan mana-mana parti.
Tinjauan Sinar Harian di media sosial Bung Moktar turut mendapati tiada status atau kenyataan baharu dimuat naik setakat ini.
Sementara itu, Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dalam hantaran di Facebook rasminya berkata, pihaknya menghormati sepenuhnya keputusan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan.
"Pengundi Usukan telah membuat pilihan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada yang diberi amanah oleh rakyat.
"Keputusan ini saya terima dengan hati yang lapang. Apa yang penting, Usukan terus maju dan masyarakatnya terus diberi perhatian," katanya.
Terdahulu, BN memenangi enam kerusi dalam PRN17 Sabah.
Ringkasan AI
- Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin terus kunci mulut selepas keputusan PRN Ke-17 Sabah diumumkan
- Beliau belum mengeluarkan kenyataan media atau mengadakan sidang akhbar
- Media menunggu untuk mendapatkan reaksi beliau tetapi tiada kenyataan dikeluarkan
- Kenyataan media dikeluarkan oleh Presiden UMNO sahaja yang mengatakan parti bersedia membentuk kerajaan dengan mana-mana parti
- BN memenangi enam kerusi dalam PRN17 Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
