Padah ingkar PKP, lelaki kantoi bawa dadah

Polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia sedang memeriksa lelaki tersebut malam tadi.
Polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia sedang memeriksa lelaki tersebut malam tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki ditahan kerana memiliki dadah jenis heroin dan pil eramin 5 ketika Ops Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Penang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berusia 34 tahun dari Gelugor itu ditahan pada jam 9.35 malam.

Menurutnya, ketika rondaan dijalankan, polis mendapati sebuah kereta jenis Honda HRV berada dalam keadaan mencurigakan lalu sebelum menahannya untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta tersebut, polis menjumpai sebungkus plastik berwarna putih di ruang tengah (arm rest) kenderaan itu.

"Di dalam plastik tersebut, ditemui enam biji pil disyaki eramin 5 manakala pemeriksaan pada tubuh lelaki tersebut pula, ditemui satu plastik lut sinar di poket belakang sebelah kanan seluar denimnya yang mengandungi dadah heroin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Soffian berkata, ujian saringan air kencing lelaki itu positif dadah jenis morfin.

"Semakan mendapati dia mempunyai dua rekod lampau melibatkan kesalahan dadah. Dia direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Artikel Berkaitan: