Redah banjir 3km untuk kebumi jenazah bayi

Siti Rokiah memangku jenazah bayi sebelum menaiki pacuan empat roda untuk ke tanah perkuburan.
Siti Rokiah memangku jenazah bayi sebelum menaiki pacuan empat roda untuk ke tanah perkuburan.
A
A
A

TUMPAT – Jenazah seorang bayi perempuan terpaksa dibawa meredah laluan banjir menggunakan kenderaan pacuan empat roda sejauh tiga kilometer untuk dikebumikan di Kampung Kajang Sebidang di sini pada Ahad.

Bapanya, Mohamad Hamzuri Makhtar, 40, berkata, dia terpaksa meminta bantuan rakannya yang memiliki kenderaan tersebut pada jam 8 pagi selepas laluan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Jering ke kampung itu masih digenangi banjir sedalam kira-kira 0.4 meter.

“Kereta tak dapat redah limpahan Sungai Golok ini, jadi saya dari Hospital Raja Perempuan Zainab II memandu hingga ke sekolah sahaja.

“Kemudian tinggal kereta di situ dan bawa jenazah naik pacuan empat roda pula untuk ke tanah perkuburan di kampung,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Siti Rokiah memangku jenazah cucunya sepanjang perjalanan meredah banjir menggunakan pacuan empat roda.
Siti Rokiah memangku jenazah cucunya sepanjang perjalanan meredah banjir menggunakan pacuan empat roda.

Pesawah itu memberitahu, anak kelimanya itu disahkan meninggal dalam kandungan isterinya, Haslida Mohamad, 41, pada Rabu lalu sebelum bayi dikeluarkan secara pembedahan pada Subuh, Ahad selepas cubaan bersalin secara normal gagal.

Menurutnya, jenazah anak kelimanya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kajang Sebidang kira-kira jam 10 pagi.

“Saya dan isteri reda, semuanya ketentuan ALLAH.

Artikel Berkaitan:

“Cuma, kejadian ini mengulangi sejarah keluarga kami kerana anak sulung juga meninggal dalam kandungan seminggu sebelum tarikh jangkaan lahir,” katanya.

Turut sama ke tanah perkuburan itu ialah ibu mentuanya, Siti Rokiah Dolah, 63, yang memangku bayi sepanjang perjalanan meredah banjir tersebut sementara Haslida masih dirawat di hospital.

Ringkasan AI

  • Jenazah bayi perempuan dibawa meredah banjir sejauh tiga kilometer untuk dikebumikan
  • Mohamad Hamzuri Makhtar menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik rakan untuk mengatasi banjir sedalam 0.4 meter
  • Anak kelimanya dengan Haslida Mohamad meninggal dalam kandungan dan dikeluarkan secara pembedahan
  • Jenazah bayi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kajang Sebidang
  • Ibu mentua, Siti Rokiah Dolah turut serta dalam perjalanan meredah banjir sementara Haslida masih dirawat di hospital

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!