RXZ usia 33 tahun ‘laku keras’ dalam lelongan JPJ

KOTA BHARU - Sebuah motosikal Yamaha RXZ yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tiada cukai jalan dan insurans menjadi rebutan pembida serta dibida pada harga tinggi, iaitu RM12,100 dalam Lelongan Awam JPJ Kelantan Siri 2/2025 di sini, pada Ahad.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, motosikal berusia lebih tiga dekad itu menjadi tumpuan apabila lima pembida bersaing menjadikannya antara kenderaan paling bernilai dalam lelongan kali ini, dengan kedudukan kedua bidaan tertinggi.
“RXZ keluaran tahun 1992 ini disita hasil pemeriksaan kerana kesalahan tiada cukai jalan dan insurans.
“Selepas tidak dituntut dalam tempoh ditetapkan dan melalui proses perundangan, motosikal ini dilelong dengan harga dibuka RM4,000 sebelum seorang pembida bersetuju dengan harga RM12,100,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Panji di sini, pada Ahad.

Menurutnya, motosikal itu termasuk dalam dua unit RXZ yang digelar ‘kenderaan paling bernilai’, selain sebuah lagi RXZ keluaran tahun 1998 yang dibida pada harga RM7,000.
“RXZ ini masih dalam keadaan baik dan bernilai di pasaran, manakala sebuah lagi juga boleh dibaiki semula serta dilesenkan semula,” ujarnya.
Beliau berkata, keseluruhan lelongan itu melibatkan 113 kenderaan, merangkumi 80 unit yang boleh dilesenkan iaitu 17 kereta, 62 motosikal dan sebuah lori, manakala 33 kenderaan dalam kategori scrap serta tidak boleh dilesenkan.
“Kami berjaya meraih hasil berjumlah RM167,560 dengan bidaan tertinggi bernilai RM15,500 bagi sebuah Volkswagen Mini Cooper manakala bidaan paling rendah ialah RM100 bagi sebuah motosikal.
“Lelongan ini dapat mengurangkan jumlah kenderaan tidak dituntut dalam depoh, menjana hasil kerajaan, selain memberi kesedaran kepada masyarakat supaya mematuhi undang-undang,” katanya.
JPJ menegaskan proses lelongan dijalankan secara terbuka dengan kehadiran wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan JPJ Putrajaya sebagai pemerhati.
“Lelongan ini dibuat melalui prosedur setelah kenderaan tidak dituntut oleh pemilik dalam tempoh yang ditetapkan.
“Seterusnya, menerusi proses perundangan dan akhirnya dilucuthakkan kepada Pengarah JPJ oleh pihak mahkamah,” katanya.
Ringkasan AI
- Motosikal Yamaha RXZ yang berusia lebih tiga dekad disita kerana tiada cukai jalan dan insurans
- Motosikal tersebut dibida pada harga RM12,100 dalam Lelongan Awam JPJ Kelantan
- RXZ keluaran tahun 1992 ini menjadi tumpuan dengan lima pembida bersaing
- Lelongan itu melibatkan 113 kenderaan dengan hasil berjumlah RM167,560
- Proses lelongan dijalankan secara terbuka dengan kehadiran wakil SPRM, Jabatan Audit Negara dan JPJ Putrajaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

