Wanita Singapura ditahan pandu Ford Mustang sewa tamat cukai jalan, tiada insurans

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Singapura yang memandu Ford Mustang GT ditahan selepas kenderaan berkenaan dikesan tamat cukai jalan dan tidak memiliki perlindungan insurans pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, wanita berusia 40 tahun itu ditahan ketika melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) kira-kira jam 7.21 malam.
Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan anggota JPJ mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) kereta berkenaan telah tamat tempoh pada 13 November lalu selain tiada rekod perlindungan insurans aktif.
"Semakan awal mendapati kereta itu disewa untuk tempoh sehari daripada sebuah syarikat kereta sewa.
"Kenderaan terbabit kemudiannya disita untuk tindakan lanjut," katanya pada Ahad.
Hamidi menegaskan pihaknya sentiasa memantau aduan orang awam dan melaksanakan pemeriksaan berterusan bagi memastikan setiap kenderaan yang berada di jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan.
Ringkasan AI
- Wanita Singapura yang memandu Ford Mustang GT ditahan kerana kenderaan tersebut tamat cukai jalan dan tidak memiliki insurans
- Wanita tersebut ditahan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada jam 7.21 malam
- Lesen Kenderaan Motor (LKM) kereta tersebut telah tamat tempoh pada 13 November
- Kereta itu disewa dari sebuah syarikat sewa kereta untuk tempoh sehari
- Kenderaan tersebut disita untuk tindakan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

