Pendaki, trekkers perlukan bantuan

Sebahagian daripada pendaki dan trekkers yang hadir.
Sebahagian daripada pendaki dan trekkers yang hadir.
A
A
A

PADA hari Sabtu 23 Ogos 2025 saya menganjurkan pertemuan pendaki dan trekkers di rumah saya di Petaling Jaya. Idea itu berpunca daripada perbualan saya dengan 'Ironman' Khafiz al Kicok.

Saya sebenarnya baru mengenali beliau secara peribadi walaupun saya telah mengikuti kegiatan pendakiannya sejak beberapa ketika.

Pertemuan pendaki dan trekkers di kediaman saya.
Pertemuan pendaki dan trekkers di kediaman saya.

Saya berada di Pesta Buku Antarabangsa KL awal tahun ini dan singgah di gerai Buku Bonda Nor. Saya ternampak buku berjudul Misi K2: Pendakian Ironman Malaysia Ke Puncak Gunung Paling Berbahaya di Dunia.

Saya baru tahu bahawa kisah kejayaan beliau mendaki gunung yang kedua tertinggi di dunia, K2, pada ketinggian 8,611 meter telah dibukukan.

Saya meninggalkan pesan pada petugas gerai itu agar Khafiz menghubungi saya.

Bersama Datuk Magendran dan Datuk Mohandas.
Bersama Datuk Magendran dan Datuk Mohandas.

Artikel Berkaitan:

Kami bertemu beberapa kali dan saya juga memperkenalkan beliau kepada anggota tim saya yang pernah ke Lembah Langtang dan yang akan bertolak ke Annapurna Base Camp (ABC).

Khafiz mempunyai kontak yang baik dengan komuniti pendaki dan trekkers. Maka itu timbullah idea untuk mengadakan pertemuan pendaki dan trekkers.

Kebetulan, Khafiz memperkenalkan saya kepada Kumpulan Trans Titiwangsa Versi 6 (TTV6) yang telah menghabiskan penjelajahan dari Pintu Rimba Dabong di Jeli, Kelantan ke Bukir Fraser. Perjalanan itu mengambil masa 65 hari dari 13 April 2025 hingga 1 Jun 2025.

Wartawan yang hadir.
Wartawan yang hadir.

Ekspedisi itu menempuh sempadan empat buah negeri iaitu Kelantan, Pahang, Perak dan Selangor yang secara teknikalnya mencecah 378.8 kilometer.

Pasukan pelbagai kaum itu terdiri daripada 18 orang lelaki dan lima wanita. Hampir-hampir tidak ada laporan media tentang ekspedisi yang luar biasa ini.

Maka itu Khafiz mencadangkan untuk mengundang kesemua anggota pasukan ini berserta malim mereka, ke majlis itu bagi tujuan meraikan mereka.

Kami juga mengundang dua orang pendaki terbilang, rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki pertama kali di puncak Everest pada 3 Mei 1997, Datuk M Magendran dan Datuk N Mohandas.

Khafiz al Kicok, pendaki yang berjaya menjejak Gunung K2 dan Manasli bersama bukunya Misi K2.
Khafiz al Kicok, pendaki yang berjaya menjejak Gunung K2 dan Manasli bersama bukunya Misi K2.

Majlis itu mendapat sambutan luar biasa selain kehadiran wartawan yang ramai. Seingat saya belum pernah diadakan pertemuan seumpama itu di negara ini, atas inisiatif peribadi.

Kemuncak majlis itu adalah penyerahan sijil penghargaan kepada semua peserta dan tim sokongan pasukan ekspedisi Trans Titiwangsa V6.

Khafiz sendiri telah mencapai kejayaan luar biasa. Beliau mencipta nama sebagai rakyat Malaysia kedua yang berjaya mendaki K2 pada 27 Julai 2023. Orang pertama adalah T Ravichandran yang berbuat demikian pada bulan Julai 2022.

Khafiz juga merupakan salah seorang daripada dua rakyat Malaysia yang pertama menjejakkan kaki di puncak Gunung Manaslu pada bulan September 2022. Teman beliau ialah RJ Nagarajan.

Khafiz dan RJ Nagarajan merupakan rakyat Malaysia pertama menjejak puncak G Manaslu.
Khafiz dan RJ Nagarajan merupakan rakyat Malaysia pertama menjejak puncak G Manaslu.

Manaslu, pada ketinggian 8,163 meter ialah gunung kelapan tertinggi di dunia. Sebagai latihan sebelum itu beliau telah berjaya mendaki Gunung Siguniang di China, Aconcagua di Argentina dan Puncak Jaya (Carstensz Pyramid) di Papua, Indonesia.

Khafiz adalah salah seorang daripada 30 orang pendaki elit negara yang sudah menjejakkan kaki di gunung yang tingginya melebihi 8,000 meter.

Terdapat 14 buah gunung yang sedemikian, paling tinggi Everest (8,849 meter) dan yang ke-14, Shishapangma (8,027 meter).

Saya melihat minat yang semakin besar terhadap aktiviti pendakian dan penjelajahan dalam kalangan rakyat Malaysia. Di mana-mana saya pergi, baik di Indonesia atau di Nepal, banyak sekali anak-anak muda yang menguji kekuatan fizikal dan mental mendaki atau melakukan penjelajahan.

Saya bersama anggota pasukan Trans Titiwangsa V6.
Saya bersama anggota pasukan Trans Titiwangsa V6.

Di Indonesia, gunung-gunung yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia adalah Rinjani di Lombok, Gunung Agung di Bali, Gunung Kerinchi di Sumatra, juga Gunung Semeru, Gunung Sindoro, Gunung Sumbing dan Gunung Prau di Jawa. Sudah tentu gunung-gunung di Malaysia sendiri menjadi sasaran mereka.

Komuniti pendaki, khususnya mereka yang menyasarkan gunung melebihi 8,000 meter menghadapi masalah besar dalam soal penajaan dan pembiayaan. Syarikat besar tidak memberikan perhatian pada aktiviti ini.

Kerajaan sendiri melalui Kementerian Belia dan Sukan nampaknya tidak memberikan bantuan kewangan kepada pendaki, mungkin ekoran dari kos tinggi cuba mencari selain menyelamat pendaki yang hilang di Everest tidak lama dulu.

Khafiz terpaksa menjual rumahnya untuk membiayai pendakiannya di K2. Syahrulnizam Mohd Nor sepatutnya menjadi orang paling muda (20 tahun) dari Malaysia dan ASEAN sekiranya beliau mendapat sokongan kewangan untuk mendaki Everest tahun ini.

*Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak mendaki dan trekking di Malaysia, Indonesia dan Nepal

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!