PKPD: MB Johor beri jaminan bekalan makanan mencukupi

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Kerajaan Johor memberi jaminan makanan asas mencukupi untuk dibekalkan kepada semua penduduk Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid Simpang Renggam, Kluang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, sepanjang tempoh PKPD bermula malam tadi hingga 9 April depan, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membekalkan makanan kepada penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan.

"Kerajaan negeri juga akan sentiasa memantau perkembangan penduduk di kawasan terlibat dan memberi segala sokongan serta kerjasama yang diperlukan.

"PKPD di dua kawasan berkenaan membabitkan 3,570 penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasni berkata, kerajaan negeri bersetuju dan menyifatkan langkah PKPD adalah tepat pada masanya susulan jumlah kes yang tinggi di kawasan terbabit dengan rekod sebanyak 61 kes positif koronavirus (Covid-19).

"Kerajaan negeri yakin keputusan tersebut dibuat bagi membendung penularan wabak Covid-19. Langkah berkenaan juga diambil bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan pihak terlibat sepanjang tempoh 14 hari," katanya.

Justeru, beliau menyeru semua penduduk di kawasan berkenaan supaya bertenang dan mematuhi semua arahan sekali gus memberi kerjasama yang baik kepada petugas Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: 61 dari Simpang Renggam positif Covid-19, PKPD dilaksana

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, Johor masih menjadi negeri pengeluar utama sayur-sayuran dan buah-buahan di negara ini.

"Malah negeri ini juga merupakan pembekal utama ayam, telur ayam dan daging di negara ini. Saya ingin memaklumkan bahawa bekalan makanan basah utama seperti sayur-sayuran, ikan, ayam dan daging mentah di seluruh negeri ini adalah mencukupi.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa bekalan ikan di negeri ini masih lagi mencukupi kerana aktiviti penternakan dan penangkapan ikan masih lagi berjalan seperti biasa biarpun operasi bagi beberapa bot pukat tunda terpaksa dihentikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Samsolbari berkata, sehingga kini juga tiada kejadian pembuangan ikan hasil tangkapan nelayan di negeri ini sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau mengakui terdapat sedikit gangguan logistik akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, namun pembekal diminta untuk menghubungi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi mendapatkan surat kebenaran supaya isu pengangkutan dapat diselesaikan.

Sehingga 25 Mac lalu katanya, sebanyak 212 Surat Pengesahan Aktiviti Rantaian Makanan dan Notis Pengoperasian Premis Rantaian Bekalan Makanan dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap individu yang terlibat boleh memohon surat pengesahan ini untuk memudahkan operasi aktiviti pertanian.

Dalam pada itu katanya, orang ramai boleh terus mendapatkan bekalan mentah di Pasar Tani Kekal (PTK) yang masih lagi beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

"Selain itu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kita mempunyai sebanyak 27 Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan sembilan Agrobazaar Rakyat (ABR) di seluruh negeri Johor," katanya.