Bot bocor terbalik, dua nelayan selamat

MUAR – Dua nelayan berdepan detik cemas apabila bot yang mereka naiki mengalami kebocoran sebelum terbalik di perairan Haji Baki, pada Sabtu.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Kama Azri Kamil berkata, mangsa, Mohamed Razi Abd Rahman, 31, dan Muhammad Hafiz Ahmad Daud, 30, diselamatkan sebuah bot tunda yang kebetulan berada berhampiran lokasi.
"Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima makluman awal mengenai kejadian berkenaan pada jam 11.13 pagi. Bot dinaiki kedua-dua mangsa mengalami kebocoran sebelum terbalik ketika mereka keluar menangkap ikan.
"Berikutan laporan itu, Bot Petir 51 dari Zon Maritim Batu Pahat digerakkan ke lokasi. Bagaimanapun kira-kira jam 12 tengah hari, MRSC dimaklumkan kedua-dua mangsa telah berjaya diselamatkan oleh sebuah bot tunda yang kebetulan berada berhampiran," katanya dalam kenyataan.

Kama Azri berkata, tindakan pantas komuniti maritim serta bantuan segera kru bot tunda berkenaan menjadi faktor utama kejayaan operasi.
"Bot Petir 51 kemudian melakukan pemindahan mangsa dari bot tunda tersebut sebelum membawa mereka ke Jeti Bentayan, Muar untuk pemeriksaan lanjut.
"Kedua-dua nelayan berkenaan diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing sebaik tiba di jeti," katanya.
Ringkasan AI
- Dua nelayan selamat apabila bot mereka bocor dan terbalik di perairan Haji Baki
- Bot tunda yang kebetulan berada berhampiran menyelamatkan kedua-dua nelayan tersebut
- Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima makluman tentang kejadian pada jam 11.13 pagi
- Komuniti maritim dan kru bot tunda beraksi cepat menyumbang kepada kejayaan operasi penyelamatan
- Mangsa diserahkan kepada ahli keluarga mereka sebaik tiba di Jeti Bentayan, Muar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

