Maharani Freeport buka 45,000 pekerjaan baharu di Johor

Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Maharani Freeport Energy Gateway sambil diperhatikan Anwar di Tanjung Emas pada Sabtu.
Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Maharani Freeport Energy Gateway sambil diperhatikan Anwar di Tanjung Emas pada Sabtu.
A
A
A

MUAR – Pembangunan Maharani Freeport dijangka menjadikan Johor sebagai kuasa maritim penting di rantau ini, dengan potensi menarik pelaburan global bernilai RM144 bilion serta menyediakan 45,000 peluang pekerjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek gergasi ini bukan sekadar menjadi mercu tanda baharu di Selat Melaka, malah membawa limpahan pelaburan, peluang pekerjaan bernilai tinggi dan perkembangan ekonomi menyeluruh kepada rakyat.

"Pelancaran Maharani Freeport melengkapkan rangkaian projek mega Johor seperti Zon Ekonomi Bebas Johor–Singapura, Forest City dan pembangunan lapangan terbang baharu yang bakal menjadikan negeri itu hab utama Asia Tenggara.

"Projek ini bukan sahaja mengangkat martabat Johor, tetapi turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara strategik dalam kuasa perdagangan dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Maharani Freeport di Tanjung Emas di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli merasmikan Maharani Freeport.

Turut berangkat, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kedudukan Freeport di laluan maritim paling sibuk di dunia, yang menyaksikan kira-kira 100,000 kapal melalui setiap tahun, menjadikannya lokasi ideal untuk aktiviti transshipment, logistik dan perdagangan minyak global.

Jelas beliau, projek ini dijangka memperkukuh daya saing negara, menarik pelaburan langsung asing berbilion ringgit serta menyediakan puluhan ribu pekerjaan bernilai tinggi untuk anak muda dan tenaga kerja mahir.

Artikel Berkaitan:

Pelabuhan tenaga bebas cukai pertama di Malaysia ini akan mula beroperasi melalui aktiviti perdagangan minyak, penyimpanan, pencampuran dan perkhidmatan marin.

Dengan kedalaman semula jadi 24 meter, kapal gergasi VLCC dapat berlabuh tanpa kos tambahan, menjadikan Maharani Freeport destinasi pilihan pengendali maritim global.

Selain itu, struktur insentif cukai yang kompetitif, termasuk kadar cukai korporat sifar peratus untuk syarikat berdaftar serta tiga peratus bagi entiti perdagangan minyak, memberi kelebihan besar kepada pelabur asing.

Ringkasan AI

  • Pembangunan Maharani Freeport di Johor bakal menjadikan Malaysia kuasa maritim penting dan menarik pelaburan global bernilai RM144 bilion
  • Maharani Freeport merupakan sebahagian dari rangkaian projek mega di Johor yang menyumbang kepada ekonomi dan peluang pekerjaan
  • Lokasi Freeport di laluan maritim sibuk menjanjikan potensi besar untuk aktiviti transshipment, logistik, dan perdagangan minyak global
  • Pembangunan ini dijangka membuka 45,000 pekerjaan bernilai tinggi serta menarik pelaburan asing berbilion ringgit
  • Maharani Freeport menawarkan kelebihan seperti kedalaman semula jadi 24 meter untuk berlabuh kapal gergasi VLCC dan kadar cukai korporat yang kompetitif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!