AI Malaysia raih pelaburan RM3.29 bilion, hampir 7,000 pekerjaan bakal tercipta

KUALA LUMPUR - Sektor kecerdasan buatan (AI) negara berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM3.29 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sekali gus berpotensi mewujudkan 6,920 peluang pekerjaan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu merupakan sebahagian kemajuan signifikan yang diraih Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) pada separuh pertama 2025 di bawah inisiatif strategik Malaysia Digital (MD).
Menurutnya, NAIO kini sedang memuktamadkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 yang berteraskan pembangunan bakat, penyediaan data dan infrastruktur selain menyediakan draf Buku Panduan Kesiapsiagaan Set Data AI bagi menyokong pelaksanaan pelan berkenaan.
"Sebagai usaha memperkukuh peranan Malaysia dalam landskap AI serantau, NAIO dengan kerjasama MyDigital akan menganjurkan Sidang Kemuncak AI ASEAN 2025 pada 12 hingga 13 Ogos ini bertemakan 'Menerajui Pembangunan AI yang Mampan dan Inklusif di ASEAN'.
"Kajian Impak AI ke atas sektor awam membabitkan 28 kementerian juga sedang berada di fasa akhir pelaksanaan," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pada sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Mengulas kerjasama merentas kementerian, Gobind berkata, NAIO telah memulakan 55 kes penggunaan AI termasuk bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi sistem ramalan trafik dan pengurusan pelabuhan pintar serta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk aplikasi AI dalam bidang radiologi dan pengurusan sumber hospital awam.
Turut dilaksanakan adalah kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membangunkan platform pertanian pintar, dengan fungsi ramalan bekalan-permintaan dan pengesanan serangan serangga perosak.
"Dalam aspek pembangunan bakat, NAIO bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp menerusi Majlis AI Kebangsaan MyMahir untuk Industri (MyMahir-NAICI) bagi merapatkan jurang kemahiran dan memastikan kesiapsiagaan tenaga kerja negara dalam era AI.
"Selain itu, inisiatif AI@Work turut diperkenalkan bagi membolehkan penggunaan AI generatif dalam tugasan harian untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

