Pengamal media di Johor terima insentif khas RM1,000

ISKANDAR PUTERI – Johor mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia memperkenalkan insentif khas kepada pengamal media di bawah inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diumumkan menerusi Belanjawan Johor 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 bagi pemberian tunai RM1,000 seorang kepada pengamal media yang berdaftar dengan Kelab Media Johor (KMJ).
Menurutnya, inisiatif khas kepada pengamal media itu merupakan sebahagian daripada 23 komponen di bawah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diperuntukkan lebih RM157 juta.
"BKJ memanfaatkan lebih 330,000 rakyat daripada pelbagai lapisan termasuk anak yatim, ibu tunggal, petani, pesakit kronik dan warga emas.
"Langkah itu turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip “Setiap sen hasil negeri dipulangkan kepada rakyat” serta semangat Bangsa Johor," katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar pada Khamis.
Tambahnya, pelaksanaan BKJ mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat, selaras dengan agenda Maju Johor yang berteraskan kesejahteraan dan keadilan sosial.
Antara bantuan utama yang diumumkan ialah BKJ anak yatim negeri Johor, RM2,000 seorang dalam bentuk tunai dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), memanfaatkan 12,307 anak yatim dengan peruntukan RM24.6 juta.
"BKJ Ketua Isi Rumah Miskin Tegar dan Miskin, RM2,000 seorang untuk 9,714 penerima dengan peruntukan RM19.43 juta.
"BKJ Ibu Tunggal (YPKDT),RM500 seorang untuk 48,537 penerima dengan peruntukan RM24.27 juta.
"BKJ Petani, Penternak dan Nelayan, RM400 seorang untuk 33,976 penerima dengan peruntukan RM13.6 juta.
"BKJ Pesakit Kanser dan Dialisis, antara RM600 setiap seorang dengan peruntukan lebih RM7 juta," katanya lagi.
Ringkasan AI
- Johor menjadi negeri pertama di Malaysia memperkenalkan insentif khas untuk pengamal media di bawah Bantuan Kasih Johor
- Menteri Besar Johor mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk membantu pengamal media dengan RM1,000 seorang
- Bantuan Kasih Johor memanfaatkan lebih 330,000 rakyat Johor termasuk anak yatim dan ibu tunggal
- Pelbagai bantuan diperkenalkan termasuk untuk anak yatim, ketua isi rumah miskin, ibu tunggal, petani, dan pesakit kronik
- Bantuan Kasih Johor mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan dan keadilan sosial rakyat Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

