SPR rekod 603 kesalahan pilihan raya

Ramlan Harun
Ramlan Harun
A
A
A

PAPAR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 603 kes kesalahan pilihan raya termasuk 81 laporan polis dan lima laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak hari penamaan calon sehingga Jumaat.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah itu direkodkan sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

"Saya ingin melaporkan sehingga malam semalam, jumlah kesalahan pilihan raya yang telah direkodkan adalah sebanyak 603 kes dan daripada 603 kes tersebut, 81 merupakan laporan polis dan lima adalah laporan kepada pihak SPRM.

"Tindakan yang di bawah SPR adalah merupakan kesalahan kecil, contohnya bahan kempen dan sebagainya.

"Perkara tersebut telah pun diambil tindakan, seperti menurunkan poster-poster yang tidak sesuai," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Kawang di sini pada Sabtu.

Ramlan dalam pada itu mengekalkan unjuran 60 peratus kadar keluar mengundi, mengambil kira situasi cuaca yang diramalkan kurang baik sepanjang hari.

"Pagi tadi semua pusat-pusat mengundi telah dapat dibuka pada jam 7.30 pagi, sebanyak 882 pusat mengundi telah dibuka pada jam 7.30 pagi dan berdasarkan maklumat yang kita terima ada beberapa kawasan juga mengalami hujan," katanya.

Katanya lagi, keputusan awal Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka diketahui sekitar jam 10 malam hingga 12 tengah malam.

"Beberapa tempat yang agak jauh untuk kita capai adalah beberapa kawasan pulau di Banggi dan sebagainya tapi kita telah pun menyediakan perkhidmatan helikopter di 85 tempat undi, di pulau-pulau dan tempat-tempat yang sukar kita kunjungi.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH tempat-tempat tersebut kita akan tutup tempat undi jam 12 tengah hari ini dan kita menjangkakan tak ada isu untuk kita bawa keluar secepat mungkin," katanya.

Ramlan turut mengesahkan pusat mengundi yang ditutup lebih awal melibatkan kawasan berkepadatan penduduknya yang rendah.

"Sikit saja… selalunya kurang daripada 100 pengundi. Sebab itu kita boleh tutup dalam jam 12 tengah hari dan pusat-pusat undi juga berhampiran dengan penempatan penduduk," katanya.

Diminta mengulas aspek ketelusan dalam proses pengiraan undi, beliau memberi jaminan bahawa prosedur SPR memastikan semua pihak dapat memantau perjalanan proses berkenaan.

"Penjumlahan akan dibuat di pusat-pusat undi dan semasa penjumlahan sebut, ejan parti ada bersama kita. Jadi kita akan pastikan setiap ejen hadir dan memastikan proses kita," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • SPR merekodkan 603 kes kesalahan pilihan raya termasuk 81 laporan polis dan lima kepada SPRM
  • Tindakan telah diambil terhadap kesalahan kecil seperti menurunkan poster-poster yang tidak sesuai
  • Unjuran kadar keluar mengundi adalah 60 peratus, dipengaruhi oleh cuaca kurang baik
  • Keputusan awal pilihan raya dijangka diketahui antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam
  • Penempatan undi di kawasan pulau dan sukar dicapai dilengkapi dengan perkhidmatan helikopter

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!