Gara-gara tulang ikan, wanita terpaksa jalani pembedahan

SHAH ALAM - Seorang wanita berusia 38 tahun berdepan detik cemas apabila tercekik tulang ikan ketika menikmati nasi dagang sehingga terpaksa menjalani pembedahan bagi mengeluarkannya.
Kakitangan kerajaan, Nur Ainzahidah Ahmad, 38, berkata, kejadian berlaku ketika dia pulang bercuti di rumah keluarganya di Pekan, Pahang pada 15 November lepas.
Menurutnya, insiden itu berlaku sewaktu majlis doa selamat untuk ayahnya yang akan berangkat ke umrah.
"Waktu itu tengah makan nasi dagang, tahu-tahu tercekik tulang. Minum air dan makan nasi banyak-banyak pun masih tidak lepas tulang ini.
"Malam sama terus ke Unit Kecemasan Hospital Pekan sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada Ahad, dan esoknya jalani pembedahan keluarkan tulang ikan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Terdahulu, video pengalaman tidak boleh dilupakan Nur Ainzahidah itu dikongsikan melalui akaun Tik Tok@CikAinnn mendapat 455,000 tontonan dengan 6,330 tanda suka.
Menerusi video tular berkenaan, wanita itu berkongsi bahawa doktor memaklumkan saiz tulang agak besar, manakala tulang ikan terbabit terlekat pada bahagian saluran yang agak kecil.
Mengulas kesan selepas kejadian, Nur Ainzahidah mengakui trauma yang dialaminya selepas terpaksa dibedah kerana tercekik tulang masih belum pulih sepenuhnya.
Menurutnya, kemungkinan dirinya mengambil masa untuk menjamah semula ikan memandangkan masih trauma dengan kejadian itu.
Justeru dia menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menikmati hidangan berasaskan ikan.
"Jangan takut makan ikan tetapi berhati-hatilah makan sebab saya tengok di video Tik Tok saya ramai yang alami macam saya tercekik tulang ikan sampai ada tidak lagi makan ikan langsung," ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang wanita berusia 38 tahun tercekik tulang ikan ketika menikmati nasi dagang hingga menjalani pembedahan
- Kejadian berlaku di Pekan, Pahang semasa majlis doa selamat untuk ayahnya yang akan berangkat ke umrah
- Wanita itu terpaksa ke Unit Kecemasan Hospital Pekan sebelum dimasukkan ke wad HTAA Kuantan dan menjalani pembedahan
- Video pengalaman wanita itu di TikTok@CikAinnn mendapat 455,000 tontonan
- Wanita itu mengalami trauma selepas kejadian dan menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika makan ikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

