PRN Sabah: GRS berpeluang menang, bentuk kerajaan negeri - Ilham Centre

Kajian Ilham Centre mendapati imej sederhana Hajiji yang boleh diterima merentasi kepimpinan parti lain turut memberi kelebihan kepada GRS untuk memenangi PRN Sabah.
Kajian Ilham Centre mendapati imej sederhana Hajiji yang boleh diterima merentasi kepimpinan parti lain turut memberi kelebihan kepada GRS untuk memenangi PRN Sabah.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai peluang terbuka untuk membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada Sabtu berdasarkan dapatan kajian akhir pola pengundian oleh firma penyelidikan, Ilham Centre.

Berdasarkan kajian tersebut, Ilham Centre berkata, GRS didapati masih mendapat sokongan yang mencukupi untuk mengetuai perundingan bersama parti-parti lokal dan calon bebas serta melepasi garis majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan.

"Faktor yang memberikan GRS kelebihan berbanding parti lain ialah status sebagai penyandang dan imej sederhana Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang boleh diterima merentasi kepimpinan parti lain.

"GRS juga mengekalkan sokongan di kawasan kubu kuat mereka di bahagian pantai barat, kempen yang membawa naratif kestabilan dan sifat tenang mereka dalam menarik perhatian pengundi," katanya dalam laporan itu yang dikeluarkan pada Jumaat.

Laporan kajian oleh Ilham Centre berkenaan disediakan oleh panel penyelidikan terdiri daripada Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar; Ketua Penyelidikan, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim; Ketua Operasi, Mohd Azlan Zainal dan Ketua Analitik, Mohd Jalaluddin Hashim.

Ilham Centre berkata, atas faktor-faktor itu, GRS dijangka memperolehi sekitar 26 kerusi daripada 55 kerusi yang ditandingi sekali gus diramal menjadi parti yang meraih jumlah terbesar kerusi selamat berbanding parti lain.

Menurutnya, keadaan berkenaan dijangka mendorong GRS untuk membuka pintu rundingan dengan parti-parti lain mahupun calon bebas yang menang untuk mengukuhkan majoriti.

Katanya lagi, walaupun data menunjukkan kekuatan parti tidak besar berbanding faktor calon tetapi di sebahagian kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan faktor parti mempunyai impak yang signifikan.

"Melalui data kajian ini, kekuatan sebenar GRS ialah kepada penyandang dan imej Hajiji berbanding logo parti itu sendiri. Selain itu, GRS berjaya memanfaatkan sumber mereka untuk menggerakkan jentera secara berkesan dan sekata di semua DUN yang ditandingi oleh mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kempen GRS defensif tetapi lebih tersusun. Mesej kempen mereka konsisten, kesinambungan pembangunan dan kestabilan. Mereka menonjolkan imej Hajiji sebagai ‘steady’ dan ‘realiable’," ujarnya.

Ilham Centre memaklumkan, populariti Hajiji membantu melonjakkan peluang kemenangan GRS selain parti berkenaan juga bijak memanfaatkan kelebihan penyandang bagi mengekalkan kerusi.

Jelasnya, 'mood’ kempen defensif lebih stabil dalam pilihan raya yang melibatkan pertandingan berbilang penjuru.

"Parti Warisan (Warisan) pula berusaha membina momentum ketika fasa awal kempen namun tidak mencukupi untuk mencipta gelombang besar rentas wilayah. Parti ini kelihatan masih kukuh di jajaran pantai timur, dalam masa yang sama melebarkan pengaruh di kawasan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan bandar.

"Namun dengan bertanding secara solo di 73 kerusi, ia memberikan liabiliti kepada jentera dan melibatkan sumber yang besar untuk menggerakkan gelombang. Untungnya, Warisan mungkin memperolehi undi protes dalam kalangan pengundi bandar untuk menolak Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Ujarnya lagi, sebahagian DUN yang ditandingi Warisan juga berpotensi mendapat laba daripada pertembungan banyak penjuru dan sengit antara GRS, PH dan BN.

Kajian lapangan Ilham Centre dijalankan dari 15 hingga 27 November 2025 melibatkan 1,500 responden merangkumi semua segmen pengundi di enam wilayah Sabah dengan ralat kajian sebanyak 2.5 peratus

Ringkasan AI

  • Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpeluang membentuk kerajaan negeri Sabah dalam PRN ke-17 berdasarkan kajian Ilham Centre
  • GRS mendapat sokongan mencukupi mengetuai perundingan dengan parti lokal dan calon bebas
  • Faktor kelebihan GRS termasuk status penyandang dan imej Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor
  • GRS dijangka memperolehi 26 dari 55 kerusi yang ditandingi
  • Kekuatan GRS adalah pada penyandang dan kemampuan menggerakkan jentera pilihan raya secara efektif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!