Rusia ugut teruskan serangan jika Ukraine enggan serah wilayah

BISHKEK – Presiden Rusia, Vladimir Putin menegaskan negaranya akan menamatkan operasi ketenteraan di Ukraine hanya jika Kyiv bersetuju menyerahkan wilayah yang didakwa oleh Moscow sebagai miliknya.
Putin membuat kenyataan itu ketika lawatan ke Kyrgyzstan pada Khamis, dengan menekankan bahawa Rusia kini menguasai sekitar satu per lima daripada wilayah Ukraine.
“Jika tentera Ukraine meninggalkan wilayah yang mereka kuasai, maka kami akan hentikan operasi ketenteraan. Jika tidak, kami akan mencapainya melalui kekuatan tentera,” katanya.
Ketegangan berlaku ketika Washington memperbaharui usaha untuk menamatkan hampir empat tahun konflik, dengan cadangan rancangan damai yang dijangka dibincangkan dalam rundingan bersama Moscow dan Kyiv.
Putin menyifatkan draf terkini sebagai 'boleh dijadikan asas untuk perjanjian masa depan', walaupun Rusia masih menuntut pengiktirafan antarabangsa terhadap wilayah yang didudukinya.
Bagaimanapun, ketua pembantu Presiden Ukraine, Andriy Yermak menolak sebarang cadangan menyerahkan wilayah.
“Selagi Zelensky menjadi Presiden, tiada siapa boleh mengharapkan kami menyerahkan tanah. Beliau tidak akan menandatangani penyerahan wilayah,” katanya kepada The Atlantic.
Sejak pencerobohan besar-besaran Rusia pada Februari 2022, konflik ini telah meragut ratusan ribu nyawa dan memaksa jutaan rakyat Ukraine berpindah. - AFP
Ringkasan AI
- Presiden Rusia, Vladimir Putin, mengatakan operasi ketenteraan di Ukraine hanya akan tamat jika Kyiv menyerahkan wilayah yang didakwa milik Moscow
- Putin menegaskan Rusia menguasai sekitar satu per lima daripada wilayah Ukraine
- Operasi ketenteraan akan berhenti jika tentera Ukraine meninggalkan wilayah yang dikuasai; jika tidak, Rusia akan terus menggunakan kekuatan tentera
- Putin menyatakan draf damai terbaru sebagai asas untuk perjanjian masa depan meskipun Rusia menuntut pengiktirafan terhadap wilayah yang diduduki
- Ketua pembantu Presiden Ukraine, Andriy Yermak, menolak sebarang cadangan menyerahkan wilayah, menegaskan Presiden Zelensky tidak akan menyerahkan tanah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

