Warga emas jatuh longkang ketika buka but kereta

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas cedera ringan selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira 2.13 meter di Krystal Heights, Lintang Delima 14, Taman Island Glades, Gelugor, di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari itu, mangsa yang berusia 71 tahun berjaya diselamatkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak yang tiba di lokasi 13 minit kemudian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, berdasarkan laporan orang awam, mangsa dipercayai tergelincir ketika cuba membuka but kereta yang diparkir berhampiran longkang tersebut.
Menurutnya, sebaik Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba, didapati mangsa berada di dalam longkang berkenaan sebelum operasi menyelamat dijalankan.
“Mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian leher dan kaki. Anggota kami bertindak mengeluarkannya sebelum menyerahkan kepada petugas Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan awal.
“Mangsa kemudian dibawa ke hospital berhampiran menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, operasi yang melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah unit EMRS itu tamat sepenuhnya pada jam 1.44 tengah hari.

Dalam kejadian berasingan, seorang pendaki wanita yang sesat ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Mertajam Forest Park berjaya ditemukan dalam keadaan selamat oleh pasukan bomba pada tengah hari Ahad.
John Sagun berkata, mangsa yang berusia 25 tahun itu dilaporkan sesat kira-kira jam 11.10 pagi sebelum menghantar lokasi keberadaannya melalui aplikasi WhatsApp kepada pihak berkuasa.
“BBP Bukit Mertajam yang menerima maklumat tersebut segera menggerakkan PKO ke lokasi kejadian dan tiba 10 minit kemudian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan bantuan polis serta beberapa orang awam yang berada di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, PKO bergerak masuk ke laluan hutan berdasarkan koordinat yang dihantar mangsa.
“Mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Anggota bertugas kemudiannya membawa mangsa turun ke kaki bukit sebelum menyerahkannya kepada ahli keluarga yang menunggu,” katanya.
Beliau berkata, operasi yang melibatkan enam anggota itu tamat sepenuhnya pada jam 1.10 petang.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memaklumkan rakan atau ahli keluarga sebelum melakukan aktiviti mendaki serta membawa kelengkapan keselamatan asas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga emas cedera ringan selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira 2.13 meter di George Town
- Mangsa yang berusia 71 tahun diselamatkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat selepas 13 minit tiba di lokasi
- Penyebab kejadian dipercayai kerana mangsa tergelincir ketika cuba membuka bonet kereta
- Mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian leher dan kaki sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan
- Seorang pendaki wanita sesat di Bukit Mertajam Forest Park juga ditemukan selamat oleh pasukan bomba pada hari yang sama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

